X

Kindly register in order to view this article
!

FAM hargai dukungan Perdana Menteri

Hamidin (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Muhyiddin di Putrajaya pada Khamis. - FOTO: FB FAM
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menghulurkan sekalung penghargaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendukung hasrat keluarga bola sepak negara untuk bangkit semula susulan impak Covid-19.

Dalam pertemuan hampir sejam dengan delegasi FAM yang diketuai Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin di Putrajaya pada Khamis, Muhyiddin mengambil maklum bahawa ekosistem bola sepak harus diperkasakan walaupun di saat negara bergelut dengan usaha memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.

Sambil menegaskan bahawa bola sepak tidak hanya tertumpu kepada saingan Liga Malaysia (Liga-M) sebagai puncak saingan tempatan, Muhyiddin mengambil maklum bahawa keseluruhan rantaian ekosistem dan industri hiliran berasaskan bola sepak yang menawarkan kegiatan ekonomi pesat tidak harus diabaikan.

Bagaimanapun, dalam pada Perdana Menteri bersetuju liga tempatan dan pengendali venue futsal dan bola sepak dibenarkan untuk kembali beroperasi, beliau mengingatkan bahawa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat mesti dikuatkuasakan bagi mengelak kluster baharu jangkitan Covid-19 daripada sukan itu.

Malah, beliau menggesa FAM dan MFL agar turun padang dan meninjau premis serta gelanggang latihan kelab dan pasukan agar pematuhan SOP yang ketat benar-benar dikuatkuasakan.

Gesaan Muhyiddin itu disambut baik oleh Hamidin yang menyifatkan pertemuan tersebut sebagai cukup bernas dan hadir tepat pada waktunya.

“Bagi pihak FAM dan MFL, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tan Sri atas kesudian beliau mengambil sedikit masa menerima kunjungan hormat kami dalam menjelaskan beberapa kaedah persiapan untuk skuad kebangsaan sepanjang musim ini serta sepak mula Liga-M bermula Mac.

“Kami bertukar pendapat dengan Perdana Menteri mengenai situasi semasa, termasuk persediaan memberi imunisasi kepada keluarga bola sepak negara dan betapa pentingnya industi hiliran berasaskan bola sepak dibenarkan kembali beroperasi di bawah SOP yang ketat.

“Beliau memahami bahawa bola sepak di peringkat akar umbi juga harus diberi ruang untuk bernafas demi kelangsungan ekosistem bola sepak secara keseluruhannya, sebagaimana yang diperjuangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican,” kata Hamidin.

Dalam mengucapkan tahniah kepada Hamidin atas pencalonan beliau selaku Presiden FAM tanpa dicabar untuk penggal 2021-2025, Muhyiddin turut menasihatkan FAM agar mengutamakan kepimpinan dalam kalangan ahlinya berlandaskan sifat amanah, adil dan diterima ahli gabungan.

Sambil mendoakan pasukan kebangsaan Harimau Malaya mampu melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China, Muhyiddin berpesan agar saf kepimpinan FAM bersatu hati di bawah pucuk pimpinan yang padu dan tidak terperangkap dalam krisis kepimpinan.

“Sebagai bekas Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin menjelaskan bahawa sukan sentiasa di hati beliau dan mengingatkan kami agar menguatkan iltizam melaksanakan amalan tadbir urus terbaik untuk membangunkan industri bola sepak tempatan,” jelas Hamidin.

Hamidin juga menjelaskan kepada Perdana Menteri bahawa FAM dan MFL melaksanakan inisiatif untuk kelompok 2,500 pemain dan pegawai bola sepak di peringkat elit diberi suntikan Covid-19 hasil perbincangan dengan Kementerian Sains, Inovasi dan Teknologi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Hasil perbincangan dengan Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, kami mengemukakan permohonan untuk kelompok pemain tempatan diberi suntikan vaksin seberapa awal yang boleh, kemungkinan besar selepas kumpulan petugas barisan hadapan,” jelasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!