X

Kindly register in order to view this article
!

Terpegang abu yang hangat

A
A

“KAU rasa berapa lama boleh tahan?” tanya Pak Din, aktivis pencen yang rakus menolak roti canai telur ke mulutnya.

“Boleh tahan apa?” tanya saya.

“Yalah, sekarang tengah kuat kempen rasuah, kau agak berapa lama kempen ini boleh tahan?” tanya Pak Din agak sinis.

“Kenapa tanya macam itu?” tanya saya lagi.

“Aku bukan apa, kau tahulah rakyat kita ini biasanya hangat-hangat tahi ayam,” kata Pak Din.

Saya hanya diam berfikir. Kemudian kata saya: “Bergantung kepada rakyat jelatalah yang perlu cakna.”

“Itulah masalahnya. Biasanya rakyat kita akan panas sekejap sahaja. Selepas ini mesti hilang semangat. Lagipun selagi tidak selesai masalah akarnya, pokok tidak akan tercabut," kata Pak Din berkias.

“Apa yang akar, apa yang pokok?” tanya saya pula.

“Begini, isu rasuah bukan baru sehari dua. Sudah lama dan ia banyak berpunca daripada sifat rakus manusia itu sendiri yang tamak haloba. Rasuah ini bermacam-macam jenis. Mungkin rata-rata kita ada terlibat dengan rasuah tanpa kita sedar, apatah lagi kalau keadaan terdesak,“ kata Pak Din sambil menyalakan rokok daun.

Asap dihembus laju, kemudian menyambung bicara. “Lagipun yang paling penting sekarang ini yang ada kuasa mungkin bermasalah. Mereka walaupun ada kes dan mungkin dah bersalah tetapi masih disanjung. Apabila disanjung, rakyat seolah menjadikan kesalahan rasuah itu seperti perkara biasa.”

“Mungkin kita tidak boleh lagi menumpukan kepada golongan yang bermasalah ini. Untuk pastikan negara bersih daripada rasuah, kita kena mula dengan kempen kepada anak-anak kecil supaya apabila sampai generasi mereka, boleh menjadi orang bersih daripada rasuah,” kata saya.

“Ya, aku setuju. Mungkin generasi yang sedia ada sekarang perlu aktif melapor sahaja kalau ada salah laku. Itu sahaja yang boleh dibuat,” kata Pak Din.

Bendung

Memang rasuah telah lama berleluasa dan ia juga masalah sejagat bukan di Malaysia sahaja. Cuma untuk membendungnya bukan senang. Kalau tidak, masakan sudah lama masalah rasuah ini tiada penyelesaian.

Seperti tulisan Syed Hussein Alatas dalam sebuah buku, beliau ada mencatat tentang gejala rasuah yang berlaku di Empayar Rom pada tahun 319 M. Kaisar Constantine berusaha membendung rasuah, namun kejayaannya hanya sedikit.

Beberapa kaisar juga sebelumnya juga telah mencuba, namun jarang berhasil. Sehinggakan dalam kes-kes angka, walaupun sabit kesalahan tetapi boleh bergembira dan bersenang-lenang, seperti dinukilkan satira Juvenal,

“Si pesalah minum-minum dan berpesta-pesta sambil dimurkai Tuhan, sementara si mangsa, yakni yang papa kedana menang bicara sambil menangis.”

Saya ada terbaca juga satu coretan seorang pengarang di sebuah akhbar. Yang menarik katanya, kebanyakan negara yang mempunyai gejala rasuah paling sedikit adalah negara-negara maju.

Katanya lagi, negara maju mungkin sudah tidak perlu membuat pembangunan baharu, sebab itu rasuah berkurang kerana kebanyakan rasuah berlaku di negara membangun. Sudah semestinya banyak duit dalam satu-satu projek pembangunan, maka disebabkan itulah banyak rasuah yang berlaku.

Sebenarnya kalau hendak dikatakan rasuah projek pembangunan dalam industri pembinaan memanglah ada. Cuma kadang-kadang ia seolah-olah menjadi kebiasaan. Saya pernah juga dimarah oleh seorang pekerja Indonesia sewaktu menjaga satu projek.

Ia terjadi apabila jabatan imigresen untuk kali ketiga datang menyerbu tapak pembinaan dan isteri pekerja Indonesia tertangkap. Suaminya memarahi saya kerana tidak menyuap pegawai imigresen.

Walau apa pun keadaannya, diharap perkara itu tidak lagi berterusan di Malaysia. Mungkin sistem pendidikan awal perlu digubal dan tambah baik untuk mendidik generasi baharu kerana segelintir generasi yang ada sekarang sudah tidak boleh dilentur lagi.

Kadang-kadang generasi tua yang masih gilakan kuasa menunjukkan contoh tidak baik. Masih tidak puas dengan apa yang ada. Yang paling teruk walaupun bersalah tetapi masih rasa ia tidak apa-apa.

“Kau rasa, berapa lama boleh tahan? Sebab ada orang kata kalau tidak cukup duit boleh ambil rasuah! Lagipun orang-orang kita biasanya bak kata pepatah terpegang abu yang hangat pula.” Pak Din sekali lagi bertanya kepada saya.

“Boleh tahan apa?” tanya saya mengulang pertanyaan sambil terbayang roda yang berputar berulang kali.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: [email protected]


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!