Kerajaan mahu kurangkan pekerja asing dalam industri perikanan

Ahmad Tarmidzi Ramly
Ahmad Tarmidzi Ramly
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan komited mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dalam industri perikanan dengan menyediakan program, inisiatif dan kemudahan bagi menggalakkan penglibatan rakyat tempatan.

Ketua Pengarah Perikanan (DOF), Ahmad Tarmidzi Ramly berkata, antara inisiatif yang disediakan kerajaan adalah memperuntukkan RM150 juta kepada Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan Dana Jaminan Makanan untuk transformasi nelayan tradisi ke laut dalam dengan menggunakan teknologi tinggi.

Menurutnya, melalui usaha itu pengusaha berpeluang menyediakan kemudahan ruang penginapan yang selesa serta komunikasi digital untuk menarik minat pekerja tempatan.

“Inisiatif lain, pemohon mendapat had pembiayaan sehingga 90 peratus daripada kos projek pembinaan vesel moden dengan kadar faedah sebanyak 3.75 peratus bagi tempoh 10 tahun melalui Skim Pembiayaan Bot Perikanan-i (SPBP-i) di Agrobank.

"Melalui Program Penjana Kerjaya 2.0 pula pengusaha vesel perikanan laut dalam boleh mengambil peluang menggunakan insentif-insentif menarik di bawah skim ini untuk menarik minat pekerja tempatan yang kehilangan pekerjaan akibat wabak Covid-19 bekerja di atas vesel mereka.

"Selain itu golongan belia juga berpeluang mengikuti latihan dalam bidang perikanan tangkapan di Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Perak dan Akedemi Perikanan Malaysia, Terengganu. Latihan, kediaman dan makan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan pelatih turut menerima elaun RM 200 sebulan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam masa sama, Tarmidzi berkata, kerajaan menyenaraikan sektor berkaitan rantaian bekalan makanan sebagai perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi untuk pengambilan pekerja asing dengan mematuhi syarat ditetapkan agensi kawal selia.

“Kemasukan pekerja asing perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk kos perjalanan dan kuarantin yang perlu ditanggung oleh pengusaha sendiri dengan anggaran RM6,000 setiap pekerja.

Artikel Berkaitan:

“Sehingga kini, seramai 1,048 kru asing yang telah diluluskan PLKS oleh Jabatan Imigresen di Semenanjung Malaysia," ujarnya.

Menurut Tarmidzi, pandemik telah memberi kesan kepada pendaratan ikan negara disebabkan penurunan jumlah vesel beroperasi ke laut yang mana pada 2020, pendaratan ikan merosot sebanyak 5 peratus berbanding tahun 2019 dengan jumlah pendaratan sebanyak 1.385 juta tan metrik.

Bagi vesel laut dalam katanya, penurunan jumlah operasi mengakibatkan pengurangan sebanyak 50,683 tan metrik ikan seluruh Malaysia iaitu merosot sebanyak lapan peratus untuk tempoh sama.

"Di Kelantan pendaratan ikan merosot sebanyak 24 peratus, daripada 56,790 tan metrik pada 2019 kepada 43,070 tan metrik pada 2020.

“Perbandingan harga ikan untuk minggu kedua Februari 2021 dengan minggu kedua Februari 2020 (sebelum kesan wabak Covid-19) bagi 20 spesis terpilih, didapati harga borong telah meningkat sebanyak 10.1 peratus manakala harga runcit telah meningkat sebanyak 6.4 peratus.

“Sebagai contoh, harga bagi spesis Kembung meningkat 5.6 peratus (dari RM14.05 kepada RM14.83 per kilogram), Selar meningkat 7.1 peratus (dari RM13.74 kepada RM14.72 per kg),” katanya.