Purata hasil padi 5.61 metrik tan sehektar tahun lalu

Ahmad Tarmizi (dua dari kanan) ketika meninjau kawalan bena perang di sawah padi sekitar Tanjung Radin dan Bukit Seni, Pendang baru-baru ini.
Ahmad Tarmizi (dua dari kanan) ketika meninjau kawalan bena perang di sawah padi sekitar Tanjung Radin dan Bukit Seni, Pendang baru-baru ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Purata hasil kasar pengeluaran padi di kawasan Muda bagi musim 2/2020 adalah 5.61 metrik tan sehektar berbanding 5.98 metrik tan sehektar pada musim 2/2019.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, berdasarkan Laporan Penyiasatan Pengeluaran Hasil Padi (CCS), seluas 66 peratus kawasan penanaman padi musim 2/2020 di kawasan Muda telah dituai sehingga Rabu lalu.

Menurutnya, manakala sejumlah 2,014 hektar sawah padi mengalami serangan perosak dan penyakit tanaman padi di keseluruhan kawasan Muda.

“Data ini menunjukkan penurunan sebanyak 72 peratus berbanding musim 2/2019, keluasan kawasan penanaman padi yang diserang penyakit dan perosak adalah seluas 7,206 hektar,” katanya.

Ahmad Tarmizi berkata demikian bagi mengulas dakwaan sebahagian pesawah berhubung pengeluaran hasil padi pada musim ini berkurangan antara 15 hingga 20 peratus disebabkan serangan penyakit dan serangga lebih serius selain masalah berkaitan sistem pengairan serta benih padi.

Menurutnya, pada musim ini kawasan Muda yang mengalami serangan perosak bena perang adalah seluas 729 hektar.

“MADA telah laksanakan program membantu kawalan serangan bena perang di kawasan berisiko tinggi dengan anggaran keluasan 1,819 hektar secara berperingkat dengan kos RM195,0000,” katanya.

Tambahnya, manakala 49 peratus di kalangan peladang menggunakan benih padi sah varieti MARDI Siraj 297.

Artikel Berkaitan:

“MADA tidak mengeluarkan benih padi sah. Pengeluar benih padi sah terdiri daripada sembilan syarikat yang dilantik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

"Kita hanya melaksanakan 233 program pengembangan dalam usaha menyampaikan teknologi pengurusan penanaman padi kepada peladang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (JPPPK) MADA, Ishak Taib berkata, walaupun cuaca tidak menentu selain sumber air terhad sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun peladang MADA mampu terus menyumbang kepada hasil pengeluaran padi negara.

“Sumbangan pengeluaran padi kawasan Muda kepada negara meningkat kepada 43 peratus pada tahun 2020 berbanding 40 peratus pada 2018. Sebagai rekod, pada 2020 purata hasil padi dikeluarkan adalah 5.98 metrik tan per hektar dengan jumlah pengeluaran 1.204 juta metrik tan bernilai RMI.87 bilion,” katanya.

Menurutnya, ia adalah hasil kerja keras peladang dan MADA yang sentiasa bekerjasama menyelesaikan masalah dalam penanaman padi.

“Serangan penyakit dan perosak serta pengairan adalah asam garam yang perlu ditempuhi peladang, bukan sahaja di kawasan Muda namun semua yang terlibat dalam industri pertanian. Perkara ini boleh diselesaikan melalui perbincangan bersama agensi kerajaan seperti MADA,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya berharap peladang sentiasa cakna dengan aktiviti di peringkat ladang dan bekerjasama dengan PPK terdekat untuk bersama meningkatkan pengeluaran padi negara.