X

Kindly register in order to view this article
!

JSJK Bukit Aman terima laporan pelaburan wang kripto tanpa lesen

ZAINUDDIN
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menerima satu laporan berhubung pelaburan saham mata wang kripto secara dalam talian yang didakwa menggunakan platform M2DCoin.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pelabur dijanjikan keuntungan tinggi setelah membuat pembayaran melalui orang tengah yang dilantik untuk menguruskan pelaburan tersebut.

"Siasatan awal mendapati, pelaburan ini mula beroperasi pada pertengahan tahun 2020.

"Pelabur akan dihubungi melalui aplikasi WhatApps dan ditawarkan untuk menyertai pelaburan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Zainuddin berkata, pelabur yang berminat kemudiannya akan diberikan kemudahan untuk mengakses platform M2DCoin bagi memudahkan mereka membuat pelaburan.

"Siasatan turut mendedahkan bahawa platform tersebut adalah laman web digital exchanger luar negara yang menggunakan hosting di Arizona, Amerika Syarikat," katanya.

Tambah beliau, laman itu beroperasi sejak sembilan bulan dan tidak mempunyai lesen untuk menjalankan operasi mata wang kripto dari mana-mana negara.

"Kini, laman web berkenaan tidak dapat diakses," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau telah melabur di dalam skim pelaburan itu digesa membuat laporan polis di balai polis berhampiran.

"Masyarakat dinasihatkan tidak terlibat dengan kegiatan pelaburan sebegini.

"Mereka boleh mendapatkan maklumat yang secukupnya dari agensi kerajaan berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan sebagainya sebelum mengambil keputusan menyertai mana-mana skim pelaburan," tegasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!