Tommy Thomas mahu prosiding rayuan Najib disegerakan

Najib ketika di mahkamah baru-baru ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan akan mengemukakan permohonan supaya Mahkamah Rayuan mempercepatkan pendengaran rayuan Datuk Seri Najib Razak berhubung tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Dalam satu prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Peguam Negara, Tommy Thomas bagi pihak pendakwa raya memberitahu, pihaknya akan menulis surat kepada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop berhubung perkara itu.

Thomas berkata, pihaknya tidak mahu melangkah-lengahkan kes tersebut dan permohonan itu akan difailkan tengah hari ini.

"Kami berharap perbicaraan kes jenayah itu boleh didengar selepas 22 Februari ini," katanya.

Sehubungan itu beliau memohon supaya perbicaraan yang ditetapkan hari ini dilapangkan, tetapi tarikh pada 25 hingga 28 Februari dan 4 hingga 29 Mac dikekalkan.

"Kami yakin rayuan oleh tertuduh di Mahkamah Rayuan boleh diputuskan sebelum tarikh itu (25 Februari)," tambahnya.

Beliau sebelum itu memaklumkan kepada Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengenai keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang membenarkan Najib menangguhkan sementara perbicaraan kes berkenaan sehingga rayuannya diputuskan.

ARTIKEL BERKAITAN: Najib dapat penangguhan, bicara SRC tak mula esok

Najib memfaikan permohonan untuk menangguhkan perbicaraan kesnya pada 8 Februari lalu bagi membolehkan Mahkamah Rayuan mendengar dan memutuskan persoalan sama ada pihak pendakwaan boleh menarik balik sijil pindah kes itu bagi tuduhan berkenaan, sebelum perbicaraan kesnya bermula.

ARTIKEL BERKAITAN:

Kes Najib: Pasukan pendakwaan bantah permohonan tangguh perbicaraan

Perbicaraan SRC Najib: Pendakwaan bersedia dengan sembilan saksi

Najib fail permohonan tangguh perbicaraan

Mahkamah tetap dua hari dengar rayuan Najib

Najib dilepas tanpa dibebaskan terhadap tiga pertuduhan