264 karton rokok seludup dirampas

Rokok seludup pelbagai jenama yang dirampas hasil serbuan ke atas sebuah kedai runcit di Pekan Slim River pada Khamis. Gambar kecil: Sulizmie Affendy Sulaiman
Rokok seludup pelbagai jenama yang dirampas hasil serbuan ke atas sebuah kedai runcit di Pekan Slim River pada Khamis. Gambar kecil: Sulizmie Affendy Sulaiman
A
A
A

TANJUNG MALIM - Polis merampas 264 karton rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM11,000 hasil serbuan di sebuah kedai runcit di Pekan Slim River di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, serbuan sekitar jam 9 malam itu turut menahan seorang pemilik kedai dan tiga individu lain termasuk dua warga asing yang bekerja di premis berkenaan.

"Ketika serbuan, keempat-empat mereka berusia lingkungan antara 24 hingga 47 tahun berada di premis itu.

"Hasil pemeriksaan telah menemukan 264 karton rokok pelbagai jenama tersorok di kedai berkenaan. Turut dirampas wang tunai berjumlah RM2,200," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, semakan rekod lampau mendapati, seorang daripada suspek ditahan mempunyai rekod lampau bersabit kes penjualan mercun dan bunga api.

Katanya, dua pekerja asing itu pula, masing-masing lelaki warga India dan wanita dari Indonesia yang telah tinggal lebih masa di negara ini.

"Polis telah mendapatkan tahanan reman ke atas dua warga tempatan selama dua hari sehingga Sabtu, manakala dua warga asing itu direman selama 14 hari sehingga 4 Mac depan.

"Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel Berkaitan: