Sekolah menengah dibuka 4 April

Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Radzi Jidin ketika sidang media, hari ini. -Foto Bernama
Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Radzi Jidin ketika sidang media, hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pelajar sekolah menengah akan kembali belajar secara bersemuka bermula pada 4 April depan bagi Kumpulan A iaitu Johor, Kelantan dan Terengganu.

Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, Kumpulan B pula akan memulakan persekolahan pada 5 April.

"Pelajar sekolah menengah kembali ke sekolah sejurus tamat cuti penggal iaitu 3 dan 4 April," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Beliau berkata, kelewatan tarikh sesi pembelajaran bersemuka bagi sekolah menengah untuk memberi ruang kepada calon Sijill Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menduduki peperiksaan dalam keadaan tenang dan selamat.

"Peperiksaan SPM akan berakhir pada hujung bulan Mac dan cuti pertengahan penggal adalah antara 26 atau 27 Mac sehingga 3 hingga 4 April," katanya.

Mohd Radzi berkata, pelajar Kolej Vokasional untuk Sijil Vokasional Malaysia Tahun Satu Semester Dua dan Diploma Vokasional Tahun Satu Semester Dua akan memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka pada 1 Mac.

"Bagi sekolah swasta, sekolah bantuan kerajaan dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM, tarikh pembukaannya adalah sama seperti sekolah kerajaan.

“Sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka disaran mengikut tarikh pembukaan sekolah yang ditetapkan dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, sekolah antarabangsa yang tiada peperiksaan SPM dan peperiksaan kebangsaan, institusi pendidikan swasta termasuk pusat tuisyen boleh memulakan operasi bermula 8 Mac.