PDRM beri amaran tegas, aktiviti tukar barang di Sungai Golok

Abd Rahim (kiri) bersama Shafien (dua dari kanan) semasa meninjau situasi terkini kejadian runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Chelagi, Pasir Mas.
Abd Rahim (kiri) bersama Shafien (dua dari kanan) semasa meninjau situasi terkini kejadian runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Chelagi, Pasir Mas.
A
A
A

PASIR MAS - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran tegas kepada penduduk yang tinggal di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini yang masih 'ligat' melakukan aktiviti tukar barang di Sungai Golok.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, ini kerana pihaknya mengesan aktiviti tukar barang menggunakan botol dan bungkusan yang ditarik menggunakan tali merentangi Sungai Golok dilihat aktif.

"Hasil pemantauan yang kami lakukan dengan menggunakan dron menunjukkan penduduk masih melakukan perkara tersebut 'tanpa' rasa bersalah.

"PDRM ambil serius perkara ini kerana ia melibatkan soal kedaulatan negara," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas turun padang meninjau situasi terkini kejadian runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Chelagi di sini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah KDNKA, Datuk Kashuadi Ali, Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat dan Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Senior Asisten Komisioner Hassan Basri Ahmad Safar.

Mengulas lanjut, Abd Rahim berkata, pihaknya telah mengarahkan PGA untuk melakukan penugasan lebih ketat di kawasan sempadan bagi mengelakkan aktiviti itu dari terus berlaku.

Katanya, PDRM bimbang jika tidak dikawal ada penduduk yang mengambil kesempatan untuk meletakkan barang-barang salah seperti dadah, senjata dan sebagainya dengan menggunakan kaedah tersebut.

Artikel Berkaitan:

"PDRM tidak akan sama sekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kegiatan tersebut.

"Tindakan tegas akan diambil dan mereka yang melakukan aktiviti ini bakal berdepan dengan undang-undang," katanya.

Sinar Online pada 14 Februari lalu melaporkan, tindakan penduduk di sempadan Malaysia-Thailand di sini bertukar-tukar barang di Sungai Golok boleh berdepan tindakan.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9 Kuala Terengganu, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, perbuatan tersebut bercanggah dengan undang-undang.

Sebelum itu tular sebuah video TikTok yang menunjukkan penduduk tempatan dan negara jiran sedang bertukar-tukar barang yang ditarik menggunakan tali merentangi Sungai Golok.

Ia susulan kerajaan kedua-dua negara mengambil pendekatan untuk menutup sempadan bagi memutuskan penularan pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.