Putrajaya, Labuan dibenar laksana aktiviti pengimarahan masjid

Mohd Ajib Ismail
Mohd Ajib Ismail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membenarkan aktiviti pengimarahan masjid, surau Jumaat dan surau dilaksanakan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya dan Labuan.

Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, ia termasuk tazkirah dan zikir munajat antara Maghrib ke Isyak dengan had jemaah separuh daripada kapasiti dewan solat utama serta penjarakan fizikal 1.5 meter.

Menurutnya, kuliah Subuh selama 30 minit turut dibenarkan dengan jarak fizikal sama.

"Turut dibenarkan solat hajat, bacaan yasin, doa munajat dan tahlil setiap malam Jumaat. Selain itu, solat hajat selepas Maghrib turut dibenarkan.

"Majlis akad nikah juga dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi 30 orang tertakluk kepada keluasan dewan solat utama masjid dengan penjarakan fizikal ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, bilangan jemaah di masjid bagi kawasan Kuala Lumpur masih tertakluk kepada ketetapan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini menetapkan Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan serta Sabah melaksanakan PKPB berkuatkuasa pada Jumaat sehingga 4 Mac depan manakala Perlis di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sementara itu, PKP dilanjutkan di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang sehingga 4 Mac 2021.

Artikel Berkaitan: