Sindiket bitcoin RM2.2 juta tumpas

Polis Perak menumpaskan sindiket perlombongan mata wang kripto bitcoin yang beroperasi secara haram di negeri itu membabitkan 1,554 unit mesin bitcoin dianggarkan bernilai RM2.2 juta telah dirampas. - Gambar hiasan
Polis Perak menumpaskan sindiket perlombongan mata wang kripto bitcoin yang beroperasi secara haram di negeri itu membabitkan 1,554 unit mesin bitcoin dianggarkan bernilai RM2.2 juta telah dirampas. - Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Polis Perak menumpaskan sindiket perlombongan mata wang kripto bitcoin yang beroperasi secara haram di negeri itu membabitkan nilai rampasan sebanyak RM2.2 juta.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejayaan itu hasil operasi bersepadu bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) di tujuh daerah iaitu Ipoh, Taiping, Manjung, Kerian, Kampar, Perak Tengah dan Kuala Kangsar sejak 1 Disember lalu.

Menurutnya, menerusi operasi itu, polis telah membongkar kegiatan 24 premis yang telah dijadikan sebagai lokasi melombong bitcoin dan melakukan tangkapan ke atas 25 suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun.

"Siasatan mendapati sindiket ini mampu mengaut keuntungan sehingga RM1.5 juta sebulan," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Jumaat.

Beliau berkata, sindiket terbabit dikesan menyasarkan bangunan sunyi sebagai premis dan melakukan penyambungan haram ke atas bekalan elektrik bagi tujuan operasi.

Katanya, dalam semua kes berkenaan didapati TNB mengalami kerugian dianggarkan RM743,000 sebulan.

"Kita sarankan kepada pemilik bangunan untuk mengambil tahu aktiviti dilakukan oleh penyewa agar tidak terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang.

"Polis juga mengalu-alukan kerjasama orang awam menyalurkan maklumat sekiranya terkesan dengan mana-mana individu atau premis yang disyaki melakukan kesalahan jenayah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semua kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 427 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum tiga atau atau kedua-duanya sekali.