'Kalau TPM tidak cukup, apa lagi UMNO mahu?'

Dr Muhammad Faiz Na'aman
Dr Muhammad Faiz Na'aman
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengetepikan dakwaan bahawa parti itu menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepada UMNO bagi mengelak berlaku pertembungan tiga penjuru pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, setakat pengetahuan beliau, isu cadangan pemberian jawatan TPM kepada UMNO tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat MPT sehingga kini.

Menurutnya, sekiranya benar ada tawaran jawatan itu, beliau sendiri ingin mengetahui siapa pemimpin UMNO yang akan dipilih oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Secara peribadi, saya berpandangan tidak mustahil dan tidak salah untuk Perdana Menteri melantik calon TPM daripada UMNO.

"Cuma watak dilantik TPM itu mestilah diterima semua pihak termasuk parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) dan majoriti rakyat.

"UMNO atau mana-mana parti ditawarkan jawatan TPM, sekiranya ada perlu bersyukur kerana langkah itu bukti pengiktirafan kerjasama daripada kami. Kalau jawatan TPM pun tidak cukup, apa lagi yang UMNO mahu?" katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas desas-desus UMNO bakal membincangkan tawaran jawatan TPM oleh kerajaan PN sebagai solusi bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada PRU15.

Selain tawaran jawatan TPM, Sinar Harian difahamkan status kerjasama dengan Bersatu juga bakal menjadi agenda perbincangan utama pucuk kepimpinan UMNO melalui mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti pada Jumaat malam.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Faiz turut menegaskan Bersatu dan PN sudah bersedia dengan sebarang keputusan UMNO dan yakin Pas akan terus mengekalkan kerjasama dengan parti itu.

Bagaimanapun, sekiranya pertembungan tiga penjuru dengan UMNO tidak dapat dielakkan, beliau bimbang risiko kekalahan parti-parti Melayu akan lebih besar.

"Mengenai status Pas dalam Muafakat Nasional (MN), saya bersimpati dengan nasib parti itu yang kini ditekan sebahagian pemimpin UMNO.

"Bagaimanapun Pas lambat laun akan diasak untuk membuat keputusan muktamad sama ada mahu kekal MN atau bersama PN. Saya secara peribadi juga berharap Pas segera membuat pendirian mahu bersama siapa,"katanya.