UUM mula hantar pelajar jalani latihan praktikum

Yahya (tiga dari kanan) menyampaikan buku rekod pengajaran kepada salah seorang pelajar yang akan menjalani latihan praktikum di sekolah terpilih.
Yahya (tiga dari kanan) menyampaikan buku rekod pengajaran kepada salah seorang pelajar yang akan menjalani latihan praktikum di sekolah terpilih.
A
A
A

KUBANG PASU - Pusat Pengajian Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menghantar 36 pelajar untuk menjalani latihan praktikum di sekolah-sekolah di Semenanjung Malaysia selepas tertangguh dua semester akibat Covid-19.

Dekan Pusat Pengajian Pendidikan, Profesor Madya Dr Yahya Don berkata, pelajarnya tidak dapat menjalani latihan praktikum kerana sekolah-sekolah ditutup akibat PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurutnya, selepas dua semester tertangguh pelajarnya kini diberi kebenaran oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk menempatkan pelajar pusat pengajian ini di sekolah-sekolah di semenanjung.

"Pelajar yang bakal menjalani latihan praktikum ini juga disaran menumpukan perhatian kepada pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Mereka perlu menyesuaikan diri dan mencari kaedah baharu untuk mengajar dengan lebih berkesan seterusnya menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara," katanya pada Jumaat.

Sementara itu, beberapa pelajar yang ditemui melahirkan syukur dan berterima kasih kepada pihak UUM kerana berjaya mendapatkan kebenaran daripada KPM dan JPN untuk menempatkan mereka di sekolah-sekolah terpilih.

Nur Hazirah Azhar,26, berkata, dia berjanji akan menjaga nama baik UUM dan membantu pihak sekolah untuk meningkat jati diri pelajar kerana kebanyakan pelajar memerlukan semangat serta bimbingan setelah setahun pembelajaran di sekolah tertangguh dan tidak dapat dijalankan pengajaran secara bersemuka.

Artikel Berkaitan: