X

Kindly register in order to view this article
!

Warga emas bersyukur dapat PPR

Fatimah (tengah) gembira menerima replika kunci PPR daripada Zuraidah (kiri) dan Ayub (kanan) dalam Majlis Penyerahan Kunci Rumah Taman Seri Molek Persana Fasa 1 dan PPR Taman Perling di Double Three Hotel, Johor Bahru pada Jumaat.
A
A

JOHOR BAHRU - Impian seorang warga emas tinggal di rumah selesa akhirnya menjadi kenyataan selepas menerima kunci kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Perling pada Jumaat.

Fatimah Idris, 68, berkata, kediamannya di tebing Sungai Skudai sudah tidak selamat diduduki dan bersyukur keluhannya mendapat perhatian kerajaan dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamarudin.

"Sudah senang hati kerana dapat rumah baharu. Terima kasih kepada menteri dan pihak yang terlibat membantu mendapatkan rumah yang diidamkan," katanya yang menerima kunci yang disampaikan Zuraida di Hotel Double Tree Hilton di sini.

Menurutnya, dia tinggal di rumah itu sejak dua hari lalu bersama dua anak dan seorang menantu.

Warga emas itu berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Taman Seri Molek Persana Fasa 1 dan PPR Taman Perling.

Hadir sama Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Mutallib, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Ayub Jamil serta Pengarah Bomba Johor, Datuk Yahaya Madis.

Pada Selasa lalu media melaporkan mengenai keluhan warga emas itu bimbang keadaan rumahnya yang sering dimasuki air kerana dibina di tebing sungai selain struktur rumah usang dan tidak selamat.

Seorang lagi penerima, Wan Zakaria Wan Hassan, 55, turut gembira apabila mendapat kunci rumah baharu di PPR Taman Perling setelah hampir tujuh tahun membuat permohonan.

"Saya lega sudah ada rumah sendiri kerana rumah sewa ketika ini hendak dijual oleh pemiliknya," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!