X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 20 Oktober 2021

Hubungan dua hala Malaysia, Arab Saudi semakin kukuh

Hishammuddin bersama Putera Faisal Farhan Al Saud.
A
A

SHAH ALAM - Hubungan dua hala antara Malaysia dan kerajaan Arab Saudi semakin kukuh serta komitmen teguh untuk meningkatkan usaha sama dua hala sedia ada ke peringkat strategik.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kedua-dua negara telah memuktamadkan rundingan untuk penubuhan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi sebagai mekanisme dua hala yang menyeluruh di peringkat Menteri Luar Negeri.

Menurutnya, perkara tersebut dicapai dalam pertemuan beliau bersama Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud sempena lawatan rasmi ke negara berkenaan pada Khamis.

“Jawatankuasa ini berupaya membuka lebih banyak usaha sama berhubung pelbagai isu yang menjadi kepentingan bersama.

“Antaranya keselamatan politik serantau dan antarabangsa, pemulihan ekonomi pasca Covid-19, haji dan umrah, keselamatan makanan dan perdagangan minyak sawit,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memupuk kerjasama lebih erat dalam bidang perdagangan dan pelaburan termasuk berkaitan teknologi dan inovasi sebagai pelan pemulihan ekonomi susulan pandemik Covid-19.

Hishammuddin bersama Putera Abdulaziz Salman Al Saud.
Hishammuddin bersama Putera Abdulaziz Salman Al Saud.

Hishammuddin turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz Salman Al Saud bagi mengekalkan kestabilan pasaran minyak serta meningkatkan peluang pelaburan antara kedua-dua negara.

“Selain pertemuan dengan Menteri Luar Negeri dan Menteri Tenaga, terdapat beberapa lagi pertemuan dengan kepimpinan tertinggi kerajaan Arab Saudi.

“Lawatan kerja ini telah menyumbang kepada usaha mengeratkan lagi hubungan persaudaraan antara kedua-dua negara.

“Malaysia dan kerajaan Arab Saudi terus menikmati hubungan persaudaraan yang erat dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, pengajian tinggi dan urusan haji,” ujarnya.

Pada tahun lalu, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi mencatatkan jumlah RM20.27 bilion dan Arab Saudi adalah rakan dagang kedua terbesar di Malaysia di Timur Tengah.

Pada 14 Februari lalu, Hishammuddin berkata. di dalam wawancara bersama Berita Harian, beliau mungkin akan ke Arab Saudi kerana telah menerima jemputan daripada menterinya.

Tambah Hishammuddin, tujuan pertemuan untuk memulakan rundingan mengenai kuota haji dan umrah untuk Malaysia.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!