Konsultasi tapak pelupusan kekal Lynas perlu dihentikan: Fuziah

Fuziah Salleh
Fuziah Salleh
A
A
A

KUANTAN - Proses Konsultasi Awam berkaitan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) ke atas Tapak Pelupusan Kekal Sisa Buangan Radioaktif (PDF) Lynas tidak boleh diteruskan dan perlu dihentikan segera selagi kawasan tersebut belum ditukar status.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, ia berikutan kawasan tersebut merupakan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) bernilai warisan tahap satu sebagaimana terkandung dalam Rancangan Tempatan Daerah Kuantan 2035.

Menurutnya, kajian EIA untuk PDF Lynas di atas tanah seluas 58.25 hektar itu kini sedang dipamerkan kepada awam.

"Tapak PDF itu merupakan sebahagian dari 202.35 hektar kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Kuantan yang juga telah dikenalpasti sebagai kawasan Tapak Pelupusan Sisa Industri Berjadual Pelbagai Kategori (MCISWDS).

"Difahamkan, Perunding EIA bagi pihak Lynas telah melaporkan bahawa kawasan tapak PDF Lynas itu kini sedang disisihkan dari kawasan hutan simpan kekal tersebut," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.

Fuziah mendakwa, dapatan daripada kajiannya mendapati kawasan yang dikenalpasti tersebut bukan sahaja sebahagian daripada kawasan hutan simpan kekal malah merupakan kawasan KSAS bernilai tahap satu yang tidak boleh dibangunkan berpandukan garis panduan ditetapkan Jabatan Pembangunan Bandar dan Desa.

Tegas beliau, proses konsultasi dan pendengaran awam EIA Lynas merupakan satu proses songsang serta salah dari segi proses undang-undang dan seharusnya status tapak tersebut diubah terlebih dahulu.

"Sebagai KSAS bernilai warisan tahap satu bermaksud kawasan tersebut tidak boleh ada aktiviti pembalakan, perlombongan mahupun pertanian.

Artikel Berkaitan:

"Mengubah status KSAS ini melibatkan proses konsultasi dan pendengaran awam di jalankan apatah lagi ianya telah termaktub di dalam Rancangan Tempatan Daerah Kuantan 2035," katanya.

Tambah beliau, sekiranya status KSAS tersebut berjaya ditukar melalui proses konsultasi dan pendengaran awam, barulah kajian EIA boleh dijalankan ke atas tapak pelupusan kekal sisa industri berjadual pelbagai kategori itu pula.

"Proses itu juga kemudiannya memerlukan konsultasi dan pendengaran awam sebelum kajian impak alam sekitar ke atas tapak PDF Lynas itu boleh dijalankan.

"Prosedur ini mengambil kira proses undang-undang berdasarkan undang-undang yang termaktub di dalam pelbagai akta sedia ada yang digunapakai di negara ini." katanya.

Fuziah berkata, ketika Majlis Perbandaran Kuantan di ambang pemasyhuran menjadi Majlis Bandaraya Kuantan, beliau ingatkan pihak terlibat agar tidak tersilap langkah dalam isu itu.

"Kuantan perlu membangun secara lestari dan bukan sebaliknya," katanya.