Polis buru dua suspek kes samun, sorok bayi

Lakaran wajah salah seorang suspek yang diburu.
Lakaran wajah salah seorang suspek yang diburu.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis sedang memburu dua orang suspek yang terlibat dengan kes samun dan menyembunyikan seorang bayi lelaki di dalam tong polisterina dalam kejadian di flat Jalan Van Praagh, Jelutong di sini pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an itu sebelum ini menyamar wakil syarikat kurier ketika menyamun mangsa dalam kejadian jam 10.30 pagi.

Menurutnya, hasil daripada keterangan mangsa, polis telah mengedarkan lakaran wajah salah seorang suspek yang terlibat untuk dikesan.

"Setakat ini kita sedang meneliti sistem rakaman litar tertutup (CCTV) yang berada di kawasan lif flat berkenaan bagi mengesan indentiti suspek terbabit.

"Kita difahamkan, suspek naik ke rumah mangsa di aras lima dengan menggunakan tangga bagi elak dikesan atau dikenalpasti pihak berkuasa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini pada Jumaat.

Soffian berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek menerusi lakaran wajah yang diedarkan pada Jumaat diminta tampil di mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurfaiz Fathi Marhom di talian 04-2825922 (sambungan 228).

Pada Khamis, media melaporkan seorang suri rumah berdepan detik cemas apabila bayi lelakinya berusia tiga bulan hilang selepas disorokkan oleh dua penyamun yang menyamar sebagai wakil syarikat kurier.

Suspek dikatakan bertindak demikian selepas mereka gagal memperolehi wang sebanyak RM50,000 seperti yang dimahukan.

Artikel Berkaitan:

Bayi lelaki tersebut akhirnya ditemukan dalam keadaan mulutnya disumbat dengan tuala kecil dan ditampal pita pelekat di dalam tong bilik rumah mangsa kira-kira sejam kemudian.