Pengurus syarikat rugi RM33,000 dakwa ditipu peminjam wang berlesen

Mangsa mendakwa terpaksa membatalkan pinjaman menyebabkan wang miliknya yang dipindahkan pindahkan sebanyak RM33,000 hangus, malah pinjaman yang dijanjikan sebanyak RM30,000 pula tidak diterima.
Mangsa mendakwa terpaksa membatalkan pinjaman menyebabkan wang miliknya yang dipindahkan pindahkan sebanyak RM33,000 hangus, malah pinjaman yang dijanjikan sebanyak RM30,000 pula tidak diterima.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengurus syarikat swasta kerugian RM33,000 selepas terpedaya dengan perkhidmatan pinjaman wang berlesen yang beralamat di Jalan Klang Lama Petaling di sini.

Mangsa yang enggan identitinya didedahkan berkata, syarikat tersebut ditemui menerusi carian di internet sebelum dia menghubungi syarikat tersebut untuk membuat pinjaman peribadi sebanyak RM30,000 sekitar Januari lalu.

Menurutnya, dia berurusan dengan syarikat tersebut selepas semakan dilakukan mendapati syarikat itu mempunyai lesen dan berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sejak 2014.

"Selepas tiga hari berurusan, saya perlu membayar cagaran RM800 untuk mengunci pinjaman dan dijanjikan wang tersebut akan dikembalikan sekiranya permohonan tidak diluluskan. Pihak syarikat kemudian memaklumkan kredit scoring saya rendah, saya perlu naikkan simpanan dalam akaun bank bagi membolehkan pinjaman dipertimbangkan.

"Saya kemudian memasukkan kira-kira RM1,000 ke akaun persendirian namun kadar tersebut masih belum mencukupi sebelum pihak syarikat itu meminta tunai RM6,200 bagi pihaknya membantu meningkat kredit sporing tersebut," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pihaknya mengikut segala saranan dicadangkan syarikat tersebut sehingga sejumlah RM33,000 telah dikreditkan kepada syarikat tersebut bagi urusan pinjaman tersebut.

"Syarikat meminta RM20,000 lagi untuk membolehkan pinjaman diluluskan, namun saya menolak disebabkan tiada wang sebanyak itu.

"Syarikat tersebut kemudian memaksa saya untuk membatalkan pinjaman menyebabkan wang yang saya pindahkan sebanyak RM33,000 hangus, malah pinjaman yang dijanjikan sebanyak RM30,000 juga tidak diterima," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, semua urusan transaksi dan perjanjian itu dibuat secara panggilan telefon serta WhatsApp dan tidak dilakukan secara bersemuka disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya lagi, pihaknya telah beberapa kali membuat pinjaman dengan syarikat wang berlesen tetapi ini adalah kali pertama tertipu.

"Ketika meminta wang saya dikembalikan individu dikenali sebagai Jackie itu memaklumkan yang wang tersebut hangus kerana saya telah melanggar perjanjian apabila membuat pembatalan pinjaman.

"Sedangkan pembatalan itu dilakukan oleh syarikat tersebut selepas saya enggan memasukkan wang RM20,000 yang diminta, " katanya.

Katanya, pihaknya telah membuat laporan polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sebelum diserahkan kepada IPD Wangsa Maju untuk menjalankan siasatan.

"Saya telah serahkan alamat syarikat peminjam wang tersebut kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Namun, satu daripada alamat tersebut dipercayai palsu," katanya.