19 kumpulan sasar terima manfaat Pakej Bantuan Rakyat 3.1

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang pada Jumaat mengumumkan perincian Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.1 yang memperuntukan RM8.41 juta kepada 19 kumpulan sasar.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, bagi pakej bantuan kali ini seramai 22,871 penerima akan mendapat manfaat, terutamanya institusi paling terkesan dalam pelbagai sektor berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Menurutnya, kerajaan negeri sedar pembukaan semula ekonomi tidak bermaksud ekonomi akan pulih seperti sedia kala dan sumbangan bantuan menumpukan golongan paling terkesan ini adalah bagi meneruskan usaha memperkukuhkan ekonomi Pulau Pinang dengan mengupayakan mereka yang terlibat untuk berdiri semula.

"Antara yang disediakan dalam Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.1 adalah geran pensijilan halal berjumlah RM320 kepada usahawan mikro baharu dan sedia ada melalui Penang Halal International melibatkan 900 penerima.

"Bantuan khas kewangan RM1,000 secara sekali bayar turut diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdaftar dengan Small and Medium Enterprises Association (SAMENTA) Pulau Pinang bagi membantu pihak berkaitan membiayai sebahagian kos pendigitalan operasi dalam usaha meningkatkan penyertaan dalam pasaran perkhidmatan perniagaan ke perniagaan (B2B)," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Kon Yeow berkata, bantuan kewangan RM500 kepada pengusaha kegiatan sukan dan aktiviti kecergasan berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan turut diberikan pengendali perkhidmatan spa bergerak.

Selain itu, pihaknya turut menyediakan insentif makanan ternakan bagi penternak tradisional untuk komoditi unggas, ruminan dan khinzir di bawah seliaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri yang melibatkan 1,088 penerima.

Tambahnya, pemandu bas, van persiaran, kereta sewa termasuk limosin pelancongan bakal menerima bantuan RM500 dalam pakej kali ini.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah sama turut diberikan kepada 1,367 pemandu pelancong yang berdaftar di negeri ini dan turut menerima bantuan ini ialah 23 pengusaha lancang air serta sembilan pengusaha kuda rekreasi.

"Turut menerima bantuan RM500 pengusaha kantin dan kafeteria di institusi pengajian tinggi (IPT) awam/swasta/kolej/institut latihan melibatkan 500 penerima,"katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, sebanyak RM2 juta turut diperuntukan bagi bantuan peralatan kesihatan dan penyediaan kelengkapan Program Imunisasi Covid-19 Negeri Pulau Pinang.

Tambahnya, pusat jagaan kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pusat perlindungan wanita di negeri ini juga akan menerima bantuan sebanyak RM5,000 melibatkan 104 pusat berkaitan.