Kuantan dimasyhur sebagai bandar raya Ahad ini

Pemandangan bandar Kuantan dari puncak Menara Kuantan 188 yang turut dirasmikan Ahad ini. Gambar kecil: Wan Rosdy
Pemandangan bandar Kuantan dari puncak Menara Kuantan 188 yang turut dirasmikan Ahad ini. Gambar kecil: Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan bakal disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Ahad ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, majlis pemasyhuran itu akan dilaksanakan menurut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat demi membendung wabak pandemik Covid-19.

Menurutnya, jumlah jemputan dihadkan bagi memastikan pelaksanaan aspek penjarakan fizikal.

"Turut dijadualkan berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Hadir sama, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.

Wan Rosdy berkata, Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan diadakan susulan kelulusan diberi kerajaan Persekutuan menerusi mesyuarat Kabinet pada 8 Mei 2019.

"Pemilihan tarikh 21 Februari ini dibuat setelah beberapa kali ditunda ekoran pelbagai faktor termasuk situasi Covid-19.

"Kali terakhir majlis seumpama ini pada 1 September 1979 atau lebih 40 tahun lalu sempena penarafan Kuantan daripada sebuah bandar kepada perbandaran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, majlis pemasyhuran itu akan menjadi satu detik bersejarah dan kebanggaan bagi warga Kuantan dan rakyat Pahang amnya walaupun sambutannya diadakan secara sederhana.