Tabika Genius di negeri PKPB, PKPP dibenar beroperasi

HALIMAH
HALIMAH
A
A
A

PUTRAJAYA - Semua Tabika Genius di negeri-negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan beroperasi secara fizikal bermula Isnin ini.

Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataannya hari ini memaklumkan keputusan tersebut tidak terpakai kepada institusi sama di negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pendidik akan terus melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian pendidik dan kanak-kanak.

Bagi Taska Genius Perpaduan yang bakal beroperasi, kementerian akan memastikan pengoperasian tertakluk kepada pematuhan Garis Panduan Pencegahan Penularan Covid-19 Pasca-PKP bagi keselamatan warga Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska), panduan pembukaan Taska Genius Perpaduan dan garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique mengingatkan semua pendidik agar sentiasa memastikan anak-anak di Taska Genius Perpaduan menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

"Ibu bapa dan penjaga yang menghantar anak-anak mereka ke Taska Genius Perpaduan juga perlu mematuhi protokol kesihatan dan prosedur operasi standard ditetapkan oleh MKN dan KKM serta arahan kerajaan negeri yang berkaitan sepanjang tempoh operasi ini," katanya yang dipetik oleh kenyataan itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri pada Selasa berkata, PKP di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang dilanjutkan selama dua minggu lagi bermula hari ini hingga 4 Mac.

Beliau berkata, negeri-negeri lain di bawah pelaksanaan PKP sebelum ini ditukar kepada PKP Bersyarat manakala Perlis merupakan satu-satunya negeri dalam negara yang berstatus PKP Pemulihan, berkuat kuasa mulai tarikh sama. - Bernama

Artikel Berkaitan: