MTUC rayu kerajaan tetapkan harga siling minyak dalam tempoh PKP

MTUC
MTUC
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) merayu supaya pihak kerajaan menetapkan harga siling bahan api dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, langkah kerajaan menetapkan harga siling bahan api pada awal tahun ini dilihat sebagai usaha berterusan dalam membantu ekonomi pekerja.

"Harga minyak semasa pada 13 Februari bagi RON95 ialah RM1.96, RON97 (RM2.26) dan disesel (RM2.15). Ia satu peningkatan yang ketara berbanding pada 1 Januari lalu iaitu RON95 (RM1.80), RON97 (RM2.10) dan disesel (RM1.98).

"Adakah kenaikan ini akan berterusan pada minggu-minggu yang akan datang? Apakah reaksi kerajaan dalam isu ini? Bagaimana kenaikan bahan api akan mempengaruhi kehidupan pekerja? Adakah harga barangan akan meningkat naik dengan kenaikan bahan api?" katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kamarul Baharin berkata, kenaikan harga minyak yang berterusan akan memberi kesan kepada kehidupan pekerja.

"Kenaikan bahan api akan menjejaskan kewangan pekerja yang sentiasa menggunakan kenderaan dalam urusan pekerjaan.

"Tambahan pula terdapat syarikat yang telah mengurangkan kos operasi dengan cara pemotongan gaji, elaun dan ketiadaan kerja lebih masa," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kenaikan harga bahan api dilihat sebagai masalah tambahan kepada pekerja yang menggunakan kenderaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pekerja-pekerja perkhidmatan e-hailing dan sektor berkaitan penghantaran atau pengangkutan akan lebih terkesan akibat kenaikan harga bahan api.

Pada masa sama, beliau berkata, MTUC turut mencadangkan pihak kerajaan memberikan insentif kepada golongan sasar yang terkesan akibat kenaikan bahan api seperti pemberian kupon subsidi atau arahan kepada syarikat untuk memberi elaun minyak kepada pekerja.

"Peningkatan harga bahan api dalam tempoh PKP ini akan memberi tekanan terhadap kumpulan pekerja berpendapatan rendah (B40)" kata beliau.

Pada Rabu, media melaporkan kerajaan bersetuju menetapkan had harga syiling bagi RON95 dan diesel susulan trend harga pasaran sebenar produk petroleum semakin meningkat.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penetapan had harga syiling itu bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak di pasaran global.