YPM sumbang alat tulis kepada 1,323 pelajar di daerah Lipis

ABDUL RAHMAN
ABDUL RAHMAN
A
A
A

SHAH ALAM- Yayasan Pelajaran Mara (YPM) menyumbangkan kit alat tulis berjumlah RM100,000 kepada 1,323 calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di 17 sekolah kawasan luar bandar di Lipis, Pahang.

Timbalan Menteri 1 Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pemilihan pelajar di daerah itu sebagai satu kaedah merangsang semangat selepas berdepan kesulitan akibat banjir pada Januari lepas.

Menurutnya, penyerahan set alat tulis itu diadakan secara dalam talian di Pejabat Pendidikan Daerah Lipis dalam satu sesi ramah mesra bersama para pelajar terbabit.

“Sesi ini merupakan satu program interaksi dan jalinan semangat kepada pelajar-pelajar luar bandar yang bakal menduduki peperiksaan SPM, STPM, dan STAM bermula dari 22 Februari ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujar beliau, pelajar lepasan sekolah menengah turut diberi peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam bidang profesional, teknikal dan kemahiran di institusi pendidikan yang dikendalikan agensi kementerian berkenaan.

Antaranya UNIKL, Kolej Profesional Mara, Kolej Felcra, Kolej Kemahiran Mara, Kolej Universiti Agrosains Malaysia dan kolej di bawah YPM serta Giat Mara.

“Selain itu, mereka boleh memohon untuk mendapatkan tajaan. Pada 2020, Mara memperuntukan sejumlah RM2 bilion bagi tajaan ke Institut Pengajian Tinggi di dalam dan luar negara yang telah memanfaatkan sejumlah 50,000 pelajar di seluruh negara,” jelasnya.

Dalam kenyataan sama, Ahli Parlimen Lipis itu berkata, KPLB juga akan mempertingkatkan akses pendidikan kepada pelajar luar bandar melalui kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan lain.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, ia memudahkan pembelajaran di rumah seperti penggunaan dekoder MyTV bagi yang mempunyai akses terhad kepada capaian internet agar dapat menonton DidikTV sebagai sumber pembelajaran.