Perodua D55L paling canggih kini dibuka untuk tempahan

Perodua D55L
Perodua D55L
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perodua D55L – model Perodua paling canggih setakat ini – kini dibuka untuk tempahan dengan varian X, H dan AV ditawarkan dengan harga tentatif atas jalan sebelum insurans antara RM62,500 dan RM73,400 di Semenanjung Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Perodua D55L merupakan model pertama di bawah rangka tindakan Perodua Smart Build yang menerajui gaya, keselamatan, teknologi, tahap kelengkapan dan juga nilai bagi Perodua.

Antara ciri utama D55L adalah Sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA).

Terdapat pada semua varian, ASA terkini mampu beroperasi pada kelajuan yang lebih tinggi berbanding versi semasa dan mampu mengesan kenderaan dua-roda.

Turut terdapat pada semua varian adalah 'Lane Departure Warning and Prevention', manakala varian AV didatangkan dengan 'Lane Keep Control', 'Blind Spot Monitor', ''Rear Cross Traffic Alert' dan 'Adaptive Cruise Control'.

Dengan kesemua ciri-ciri ini, Perodua D55L merupakan model Perodua pertama yang memenuhi standard Pemanduan Autonomi Tahap 2.

“Selari dengan matlamat kami untuk terus membawa lebih banyak teknologi canggih kepada orang ramai, Perodua D55L AV merupakan kenderaan Autonomi Tahap 2 yang paling mampu milik di Malaysia, menawarkan ciri keselamatan dan kemudahan canggih kepada semua.

“Kenderaan SUV kekal popular, dan Perodua D55L memenuhi trend ini dengan saiz yang kompak, gaya kontemporari dan ciri-ciri moden, menjadikannya paling sesuai untuk gaya hidup aktif seharian,” tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Perodua D55L juga merupakan kenderaan turbo pertama Perodua, selari dengan trend 'downsizing' global, dan model Perodua pertama yang menggunakan transmisi boleh laras berterusan (CVT), menyumbang kepada kecekapan bahan api 18.9 km/liter – terbaik dalam kelasnya.

“Sementara itu, memandangkan pengecualian cukai jualan yang diperkenalkan oleh kerajaan dijangka berakhir pada hujung Jun, jangan tunggu lagi untuk menempah – penasihat jualan kami yang sah bersedia membantu dan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai Perodua D55L di semua pusat jualan kami di seluruh negara, dengan pematuhan ketat garis panduan Covid-19 demi kesihatan dan keselamatan anda,” kata Zainal Abidin. - Bernama