X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 27 November 2021

Rangka tindakan ekonomi digital Malaysia sehingga 2030

Mustapa
A
A

KUALA LUMPUR - Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang komprehensif akan dilaksanakan sehingga tahun 2030 dan menetapkan visi untuk negara menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital dan mencapai pembangunan sosioekonomi yang inklusif, bertanggungjawab dan mampan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Unit Perancang Ekonomi telah diberi mandat untuk menggubal Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang mengandungi tiga objektif dasar dan dirangka untuk memenuhi visi negara dalam mencapai digitalisasi.

Katanya, rangka tindakan ini mengambil kira pandangan dan input pelbagai pihak berkepentingan, termasuk rakyat, industri dan agensi kerajaan.

“Tiga objektif dasar itu ialah menggalakkan pemain industri menjadi pencipta dan pengguna model perniagaan yang inovatif, melahirkan modal insan yang berupaya untuk berdaya saing dan memupuk ekosistem bersepadu yang akan membolehkan masyarakat mengambil bahagian dalam ekonomi digital,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pelancaran MyDigital dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia secara maya pada Jumaat.

Beliau berkata, enam teras strategik turut dikenal pasti iaitu memacu transformasi digital di sektor awam, meningkatkan daya saing ekonomi melalui digitalisasi, membangunkan infrastruktur digital, membangunkan tenaga kerja berkemahiran digital, mewujudkan masyarakat digital yang inklusif dan mewujudkan persekitaran digital yang terjamin dan beretika.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, negara masih berhadapan dengan beberapa cabaran yang perlu ditangani segera bagi memastikan matlamat untuk mengurangkan jurang digital dapat dicapai.

“Antaranya termasuklah, kualiti dan liputan perkhidmatan jalur lebar yang rendah, penyediaan infrastruktur digital yang belum menyeluruh dan tenaga kerja berkemahiran digital yang masih tidak mencukupi,” katanya.

Mustapa berkata, pandemik Covid-19 telah mendorong pihak kerajaan, swasta dan masyarakat meningkatkan usaha menguasai teknologi digital.

“Kerajaan sedar betapa pentingnya diperkenalkan dasar khusus bagi memanfaatkan peluang daripada ekonomi digital,” katanya.

Pelaksanaan rangka tindakan ini dibahagikan kepada tiga fasa iaitu fasa pertama memfokuskan kepada pengukuhan asas penggunaan digital bermula tahun ini hingga tahun depan, diikuti fasa dua (2023 hingga 2025) memacu transformasi digital yang inklusif dan fasa tiga (2026 hingga 2030) akan menjadikan negara sebagai peneraju serantau dalam bidang kandungan digital dan keselamatan siber.

Sementara itu, katanya, inisiatif MY Device akan diperkenalkan untuk memastikan semua pelajar di Malaysia mendapat akses kepada peranti digital bagi tujuan pembelajaran menjelang tahun 2025.

“Inisiatif ini akan dilaksanakan melalui kerjasama antara kerajaan, swasta dan rakyat. Data percuma akan diberikan kepada pelajar daripada kumpulan yang mudah terjejas,” katanya.

Beliau berkata, ini selari dengan sasaran Malaysia untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital menjelang tahun 2030. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!