China sumbang 200,000 vaksin Covid-19 kepada Algeria

China akan menghadiahkan kira-kira 200,000 dos vaksin Sinopharm kepada Algeria bagi membendung penularan vaksin Covid-19 di negara itu. - Foto AFP
China akan menghadiahkan kira-kira 200,000 dos vaksin Sinopharm kepada Algeria bagi membendung penularan vaksin Covid-19 di negara itu. - Foto AFP
A
A
A

ALGIERS - China akan menghadiahkan kira-kira 200,000 dos vaksin Sinopharm kepada Algeria bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di negara tersebut, kata Duta Beijing ke negara itu, Li Lianhe kepada agensi berita APS pada Khamis.

Vaksin itu akan tiba dalam bulan ini, kata Menteri Kesihatan, Abderrahmane Benbouzid.

Beliau menambah, sehingga 800,000 dos vaksin Covid-19 dijangka tiba melalui program inisiatif global antarabangsa, Covax.

Program Covax diwujudkan bagi mengedarkan vaksin tersebut ke negara-negara di dunia.

Vaksin Sinopharm itu dihasilkan oleh sebuah syarikat pengeluar ubatan-ubatan dari China iaitu Kumpulan Sinopharm.

Menurut AFP, Algeria dan China merupakan sekutu rapat dan apabila pandemik itu bermula, Beijing menghantar pasukan perubatannya ke negara itu bagi menghulurkan bantuan.

China telah mewujudkan hubungan kukuh di Afrika melalui sumbangan vaksinnya termasuk di Equatorial Guinea dan Zimbabwe.

Algeria telah melancarkan program vaksinnya pada Januari lalu dengan penghantaran pertama 50,000 dos vaksin Sputnik V buatan Rusia bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Pihak berkuasa Algeria menyatakan perbincangan sedang berlangsung dengan Rusia bagi mengeluarkan vaksin Sputnik V di negara Afrika itu.

Algeria juga telah menerima 50,000 dos vaksin AstraZeneca untuk disuntik kepada penduduknya.

Negara itu mempunyai kira-kira 44 juta penduduk dan merekodkan hampir 3,000 kematian dan sekitar 111,500 orang dijangkiti Covid-19. - Agensi