'Mulakan dengan perkara kecil tangani pencemaran'

Mohd Yusaimi Md Yusof
Mohd Yusaimi Md Yusof
A
A
A

SHAH ALAM - Masyarakat perlu mencegah pencemaran bermula dengan perkara kecil terlebih dahulu yang akhirnya akan memberi impak besar kepada biodiversiti negara.

Presiden Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (Grass Malaysia), Mohd Yusaimi Md Yusof berkata, bagaimanapun setiap tindakan mencegah pencemaran perlu dilakukan bermula dengan diri sendiri

“Kalau kita anggap perkara tersebut terlalu besar, tidak mengapa. Kita boleh mula dengan benda yang kecil.

“Contohnya, semasa kita berjalan, kita bawa bekas minuman kita sendiri. Sebab bila kita bawa sendiri, kita tak perlu beli botol mineral.

“Botol mineral ini antara pencemaran plastik yang paling banyak masalahnya. Kalau kita pergi membeli belah, kita perlu bawa beg sendiri. Kita kena fikir bagaimana setiap perbuatan dan kesan kepada alam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Al-Quran siri ke-89 yang bertajuk ‘Biodiversiti: Khazanah Terancam’ yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf pada Khamis.

Program itu turut menampilkan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi Fakulti Sains, Universiti Malaya, Dr Mohd Istajib Mokhtar sebagai panelis, manakala, Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail sebagai moderator dan qari jemputan, Ahmad Tarmizi Ali yang memperdengarkan Surah Al-A’raf ayat 56 sehingga 58.

Artikel Berkaitan:

Dari kiri: Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail, Presiden Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (Grass Malaysia), Mohd Yusaimi Md Yusof, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi Fakulti Sains, Universiti Malaya, Dr Mohd Istajib Mokhtar, qari jemputan, Ahmad Tarmizi Ali pada Wacana Al-Quran siri ke-89 yang bertajuk ‘Biodiversiti: Khazanah Terancam’
Dari kiri: Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail, Presiden Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (Grass Malaysia), Mohd Yusaimi Md Yusof, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi Fakulti Sains, Universiti Malaya, Dr Mohd Istajib Mokhtar, qari jemputan, Ahmad Tarmizi Ali pada Wacana Al-Quran siri ke-89 yang bertajuk ‘Biodiversiti: Khazanah Terancam’

Katanya, masyarakat digalakkan mula menanam sikap menjaga alam sekitar bermula sekarang kerana usaha yang dilakukan akan diangkat dan dibicarakan di akhirat kelak walaupun perkara itu kecil.

“Bekas gula-gula yang kecil juga jangan dibuang merata-rata walaupun ia plastik. Plastik ini akan memakan masa 100 tahun untuk dihapuskan. Nampak tong sampah baru kita buang,” ujarnya.

Katanya, apabila manusia gagal menjaga alam sekitar kesan buruknya kembali kepada kesihatan masyarakat.

“Contohnya banjir. Ini kerana hutan yang kita tarah tidak boleh menghalang air yang berlebihan, jadi akan turun air berkeladak. Kalau ada pokok, akan turun air yang bersih.

“Selain itu, pembuangan sampah dalam sungai dan laut juga memberi kesan kepada pemakanan manusia kerana ikan yang dimakan turut menerima kesan pembuangan plastik.

“Masalah tiada air juga berlaku akibat pencemaran sungai. Berpunca daripada manusia juga. Maknanya, yang menyusahkan kita ialah manusia sendiri,” katanya.