SKMM tangani capaian internet di DUN Sungai Air Tawar

Keratan portal Sinar Harian berhubung masalah pencapaian liputan internet di DUN Sungai Air Tawar sebelum ini.
Keratan portal Sinar Harian berhubung masalah pencapaian liputan internet di DUN Sungai Air Tawar sebelum ini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang berusaha menangani isu capaian internet di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar yang masih lemah hingga menyukarkan pelajar sekolah mengikuti Pengajaran dan pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian.

Menerusi satu kenyataan, SKMM berkata, pihaknya mengadakan lawatan ke lokasi aduan dan bertemu dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail bagi mendapatkan maklumat lanjut selain menyemak kualiti liputan rangkaian telekomunikasi.

Menurut kenyataan itu, SKMM akan melakukan pelbagai usaha bagi menangani masalah capaian internet di DUN terbabit.

"Sebagai penyelesaian jangka pendek, SKMM telah menghubungi syarikat-syarikat telekomunikasi untuk melaksanakan pengoptimuman antena menara komunikasi di kawasan-kawasan kampung itu dan dijangka siap menjelang hujung Februari ini.

"Bagi penyelesaian jangka panjang pula, sebuah menara baharu akan dibina di kawasan aduan di bawah pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) dan kerja-kerja pembinaan menara dijangka bermula pada hujung tahun ini," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kebanyakan kampung di DUN Sungai Air Tawar masih mengalami masalah liputan internet kurang memuaskan hingga menyukarkan pelaksanaan PdPR secara dalam talian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Rizam berkata, beliau menerima banyak rungutan daripada ibu bapa dan guru berhubung masalah capaian penebusan jalur lebar yang amat perlahan di kawasan terbabit.

Artikel Berkaitan: