i-Sinar: NUPCIW, FOMCA bimbang masa depan kewangan pencarum

Paul Selvaraj dan Abdul Halim Mansor
Paul Selvaraj dan Abdul Halim Mansor
A
A
A

SHAH ALAM - Wakil pekerja dan pengguna melahirkan kebimbangan terhadap kesan jangka panjang bakal dihadapi pencarum yang mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi i-Sinar.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perusahaan Petroleum dan Kimia (NUPCIW), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, langkah terbaharu KWSP itu akan memberikan kesan negatif terhadap perlindungan sosial jangka panjang pekerja di Malaysia.

“Laporan (KWSP) menunjukkan sebanyak dua juta pencarum KWSP tidak ada simpanan (mencukupi) dalam tabung dua sekarang ini dan lebih kurang 42 peratus tidak ada simpanan purata melebihi RM5,000.

“Jadi apabila kita keluarkan RM4,900 tinggal RM100. Siapa boleh bagi kita jaminan pandemik akan tamat bulan Jun. Apakah akan jadi kepada rayuan mereka yang telah keluarkan duit (jika pandemik berlanjutan). Di mana kita nak bagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian edisi Ke-233 bertajuk ‘i-Sinar: Rintihan Rakyat Akhirnya Didengari’ yang bersiaran secara langsung dari Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis.

Turut serta menjadi panelis ialah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; penganalisis ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma dan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selvaraj, manakala Ismail Adnan bertindak selaku moderator.

Sementara itu, Paul berkata, pencarum perlu melakukan pertimbangan yang secukupnya sebelum menggunakan kemudahan i-Sinar.

Menurutnya, laporan KWSP menunjukkan lebih separuh daripada pencarum tidak memiliki simpanan mencukupi bagi meneruskan kelangsungan hidup selepas bersara.

Artikel Berkaitan:

“Anggaran KWSP menunjukkan seseorang harus ada lebih kurang RM240,000. Tetapi lebih 67 peratus pencarum hanya ada simpanan kurang daripada RM50,000.

“Maknanya apabila dia bersara pun tak cukup. Mereka harus melihat juga masa hadapan kerana duit yang mereka keluarkan dalam tiga tahun akan habis,” katanya.