PRU15 tidak sesuai ketika Covid-19 masih melanda negara

Gambar kecil: Wilfred Madius Tangau.
Gambar kecil: Wilfred Madius Tangau.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan ketika Covid-19 masih melanda negara, kata Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Beliau berkata, rakyat sedang menderita ketika ini termasuk ramai yang telah kehilangan pekerjaan, manakala ekonomi juga terjejas teruk.

"Jika diadakan pilihan raya sekarang, adakah ia memberi manfaat kepada rakyat? Rakyat sedang menderita, apa yang penting adalah bantu rakyat yang kehilangan punca pendapatan dan pulihkan semula ekonomi negara.

"Pilihan raya adalah perkara yang terakhir dalam fikiran saya. Malaysia tidak sepatutnya menjadi bahan jenaka negara jiran. Sebab itu kita minta tarik balik perintah darurat dengan segera," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaan UPKO untuk menghadapi PRU15.

Sementara itu, mengulas berhubung kedudukan UPKO dalam gabungan pembangkang Sabah, Madius berkata, UPKO masih kekal bersama pembangkang di negeri ini.

"Seperti yang semua tahu, pembangkang kita mempunyai Pakatan Harapan (PH), tetapi di Sabah tidak ada gabungan formal seperti PH.

"Warisan Plus hanya nama, tidak ada organisasi formal," katanya.

Artikel Berkaitan: