Bapa simbah anak air panas: Mahkamah tunggu laporan perubatan

Tertuduh (berbaju hitam) di bawa ke mahkamah tadi.
Tertuduh (berbaju hitam) di bawa ke mahkamah tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Mahkamah Majistret menetapkan 26 Februari depan untuk mendapatkan laporan perubatan mangsa berhubung kes seorang bapa menyimbah air panas ke atas dua anaknya.

Keputusan itu dibuat Majistret Rosnee Mohd Radzuan di hadapan tertuduh Eddy Noramin Ramli, 41 tadi.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nabila Huda Muhammad Nazim.

Terdahulu, tertuduh yang juga seorang ejen jualan kad prabayar mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menyimbah air panas ke atas dua anaknya pada Disember lalu.

Sehubungan itu, Rosnee membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin terhadap tertuduh serta syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mendekati mangsa.

Mengikut pertuduhan pertama, Eddy didakwa telah dengan niat mencederakan anak perempuannya berusia 9 tahun dengan menggunakan air panas hingga badan mangsa melecur.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh melakukan perkara sama ke atas anak lelakinya berusia 10 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua pertuduhan itu di antara jam 1 hingga 2 pagi pada 28 Disember lalu di Flat Kampung Melayu, Air Itam di sini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun hukuman ke atas tertuduh belum diputuskan berikutan laporan perubatan belum diterima.

Mengikut fakta kes, pada 28 Disember jam 3.30 petang, Pondok Polis Hospital Pulau Pinang (HPP) menerima laporan bahawa seorang kanak-kanak perempuan disimbah air panas oleh bapa kandungnya.

Pada 2 Januari lalu, polis menerima laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengatakan seorang kanak-kanak lelaki telah melecur di peha akibat kejadian sama yang dilakukan bapa kandungnya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan.