X

Kindly register in order to view this article
!

Tujuh lelaki terlibat sindiket pemalsuan dokumen ditahan

Gambar hiasan.
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menahan tujuh lelaki warga tempatan kerana disyaki terlibat dengan sindiket pemalsuan dokumen imigresen dalam serbuan Op Sticker.

Kesemua anggota sindiket berusia antara 30 hingga 39 tahun itu ditahan Ahad lepas hasil beberapa siri operasi dijalankan secara bersepadu antara Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, sindiket ini dipercayai menjalankan kegiatan menjual pelekat keselamatan imigresen tulen dengan mendapat bekalan yang diseludup individu yang bekerja dengan sebuah syarikat percetakan yang menjadi pembekal kepada Imigresen.

Beliau berkata, setiap keping pelekat dibeli antara RM700 hingga RM800 oleh anggota sindiket sebelum dijual dengan anggaran keuntungan mereka mencecah RM80,000 sebulan.

"Kerajaan dianggarkan kerugian RM1,800 bagi setiap keping pelekat yang dijual dan digunakan pendatang tanpa izin disebabkan tidak dapat mengutip hasil levi, bayaran pas dan bayaran proses,” katanya sambil menambah bahawa kerugian hampir RM2.16 juta setiap tahun ditanggung kerajaan akibat kegiatan sindiket ini.

Katanya, kegiatan sindiket ini jelas boleh menggugat keselamatan negara dan menyebabkan ketirisan kutipan hasil kerajaan, justeru pihaknya tidak akan berkompromi.

Dalam perkembangan lain, SPRM berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam menangani isu rasuah, penyelewengan dan integriti dalam JPJ.

Menurut SPRM dalam satu kenyataan, Ketua Pesuruhjayanya Datuk Seri Azam Baki dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim telah mengadakan pertemuan ke arah itu, hari ini dan pihaknya menyambut baik komitmen Zailani dalam meningkatkan integriti jabatan berkenaan. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Sindiket jualan setem hasil kerajaan, PLKS tumpas


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!