Tiada usaha guling Hadi Awang

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa pemimpin Pas menafikan wujud usaha pihak tertentu untuk menjatuhkan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas, Nasrudin Hassan berkata, beliau tidak mendapat maklumat berkenaan perkara tersebut.

“Tidak dapat maklumat, tidak tahu,” katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Nasrudin
Nasrudin

Pada Rabu, tular dakwaan di media sosial bahawa wujudnya gerakan yang sedang berjalan bagi menjatuhkan Ahli Parlimen Marang itu.

Difahamkan, berlakunya perpecahan di dalam Pas yang kini terbahagi kepada dua kem membabitkan kumpulan Pro-Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kumpulan Pro-UMNO.

Mengulas isu sama, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Senator Datuk Husain Awang berkata, dakwaan itu hanyalah cerita yang diada-adakan bagi menjatuhkan karier politik pemimpin Pas.

Artikel Berkaitan:

Husain
Husain

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar pula enggan mengulas mengenai wujudnya gerakan untuk menjatuhkan Abdul Hadi.

"Semua benda tidak pasti dan tidak jelas ini. Maaf, tidak berani hendak ulas," katanya.

Bagi Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil, dakwaan itu hanyalah isu yang sengaja disebarkan oleh pihak luar.

“Tidak ada apa-apa isu dalam kalangan pimpinan Pas,” katanya.

Bagi Ketua Dewan Pemuda Pas Melaka, Ahmad Bilal Rahudin berkata, semua ahli parti berpegang kepada wala' dan taat kepada kepimpinan Abdul Hadi.

Ahmad Bilal
Ahmad Bilal

Menurutnya, khabar angin bertebaran itu sejak beberapa hari lalu yang dilihat sengaja mahu mengeruhkan hubungan antara ahli parti dan pihak kepimpinan.

"Ini senario yang selalu berlaku setiap kali bila nak muktamar dan PRU.

"Walau apa yang berlaku, saya tetap mempercayai sistem pengurusan parti dan setia berdiri di belakang presiden kami," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap pihak yang menyebarkan berita tidak benar itu segera bertaubat kerana tidak terdapat dua puak dalam Pas sama ada Geng Publika atau Geng Ustaz.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamaruddin Sidek turut menafikan kebenaran berita itu.

"Maaf memang tak berlaku pun (perpecahan) dan taktik ini biasa timbul setiap kali muktamar yang ada pemilihan," katanya.

Ketua Penerangan Pas Negeri Sembilan, Badzli Bakar berkata, dakwaan kononnya ada pihak cuba singkirkan Abdul Hadi hanyalah perbuatan kawan-kawan yang nakal.

Katanya, perbuatan tersebut sengaja dibuat untuk cuba menggoncang kestabilan dalaman Pas.

"Kita mengambil sikap 'tabayyun' dengan setiap berita yang kita terima dan kita yakin ini adalah kerja kawan-kawan nakal," katanya.