Pengeluaran i-Sinar beri suntikan positif ekonomi negara

Madeline
Madeline
A
A
A

SHAH ALAM - Kemudahan pengeluaran i-Sinar tanpa syarat bakal memberi rangsangan kepada ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Penganalisis Ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma berkata, situasi tersebut akan menjadi kenyataan kerana rakyat mempunyai wang yang diperoleh daripada kemudahan tersebut untuk dibelanjakan.

“Sebab itu kita kena pastikan duit sentiasa berada di tangan rakyat supaya mereka boleh berbelanja seterusnya mewujudkan ‘circular economy’.

“Dengan berbelanja kita dapat pastikan ekonomi kita sentiasa berputar dan bergerak pantas. Jika mereka tak boleh berbelanja ekonomi akan ranap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan pandangan dalam program Wacana Sinar Harian Edisi ke-233 bertajuk i-Sinar: Rintihan rakyat akhirnya didengari yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Turut menjadi panelis ialah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perusahaan Petroleum dan Kimia, Datuk Abdul Halim Mansor dan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selvaraj, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Ismail (kiri) bersama panelis, Abdul Halim, Madeline, Paul dan Asyraf Wajdi membincangkan tajuk i-Sinar: Rintihan rakyat akhirnya didengari? pada Wacana Sinar Harian Edisi ke-233 yang diadakan di Kumpulan Karangkraf pada Khamis.
Ismail (kiri) bersama panelis, Abdul Halim, Madeline, Paul dan Asyraf Wajdi membincangkan tajuk i-Sinar: Rintihan rakyat akhirnya didengari? pada Wacana Sinar Harian Edisi ke-233 yang diadakan di Kumpulan Karangkraf pada Khamis.

Mengulas lanjut, Madeline berharap pihak yang terlibat mendengar rintihan rakyat yang terkesan seterusnya mempermudahkan urusan pengluaran i-Sinar mereka.

Artikel Berkaitan:

“Setiap ringgit sangat bernilai kepada rakyat ketika ini kerana kita tidak tahu sampai bila Covid-19 ini akan reda walaupun dengan kehadiran vaksin.

“Sebab kalau isu berkaitan ekonomi ini kita boleh ramal, namun isu kesihatan sangat susah untuk diramal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap kerajaan memfokuskan usaha untuk mewujudkan peluang pekerjaan selain daripada memastikan kelangsungan hidup rakyat.

Menurutnya, dengan mewujudkan peluang pekerjaan, ia juga dapat membantu meningkatkan kembali ekonomi Malaysia.

“Cara paling bagus mewujudkan peluang pekerjaan adalah melalui pembangunan infrastruktur.

“Namun sekarang banyak projek besar terpaksa diberhentikan, jadi kerajaan harus memikirkan cara lain bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya.