Perkenal kaedah kerja hibrid

A
A
A

PENGALAMAN dua kali menempuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pasti memberi keyakinan kepada penduduk Malaysia bahawa istilah work-from-home (WFH) adalah jargon tetap.

Ia memberi konotasi bekerja sepenuh masa di pejabat bukan lagi kewajiban. Mahu tidak mahu, majikan harus memandang serius perkara itu.

Minggu lalu, pembekal perkhidmatan streaming muzik dan media, Spotify mengumumkan pihaknya akan memperkenalkan polisi work-from-every-where (WFE - bekerja di mana-mana sahaja).

Raksasa streaming audio yang beribu pejabat di Sweden itu menegaskan polisi itu akan tetap berkuat kuasa sekalipun Covid-19 telah berakhir.

Spotify memberi peluang kepada pekerjanya untuk berada di pejabat sepenuh masa, menyelesaikan tugasan di rumah sepenuh masa atau kombinasi kedua-duanya. Ia digelar model kerja hibrid.

Sebelum ini, syarikat media sosial dan teknologi termasuk Twitter, Facebook dan Google telah lama menghapuskan budaya kerja tradisional iaitu wajib masuk pejabat.

Penulis difahamkan oleh seorang editor kanan sebuah media raksasa di Malaysia bahawa beliau telah lama mengamalkan budaya commuting. Malah, hampir semua media arus perdana zaman dahulu sangat mengenali budaya commuting. Ia bererti Spotify bukanlah syarikat pertama memberi kebebasan bekerja di mana-mana sahaja.

Editor kanan tersebut menjelaskan budaya commuting sebenarnya mirip pelaksanaan budaya WFE yang diterajui Spotify. Persoalannya, benarkah konsep WFE bagus kepada syarikat?

Artikel Berkaitan:

Penyelidikan terbaharu Gartner mendedahkan hampir separuh atau 48 peratus pekerja sekarang ingin bekerja dari rumah walaupun Covid-19 telah berakhir. Jadi, keputusan Spotify mungkin mampu untuk menarik dan mengekalkan bakat hebat di syarikat itu.

Sebagai rekod, Gartner Inc atau secara rasmi dikenali sebagai Gartner merupakan firma penyelidikan dan penasihat global yang menyediakan maklumat, nasihat serta instrumen kepada pemimpin dalam bidang teknologi maklumat (IT), kewangan, pentadbiran, perkhidmatan dan sokongan pelanggan, komunikasi, undang-undang dan kepatuhan, pemasaran, penjualan serta rantaian bekalan fungsi.

Spotify beribu pejabat di Stockholm dan mempunyai lebih 5,500 kakitangan di 79 negara.

Berubah

Penulis pernah membuat penyelidikan tentang pelaksanaan WFH sepanjang PKP. Jawapan ikhlas dalam kalangan pekerja adalah mereka bencikan syarikat yang bertegas inginkan menguatkuasakan polisi tradisional iaitu bekerja sepenuh masa di pejabat.

Zaman sudah berubah. Syarikat harus belajar menghayati polisi baharu diterapkan Spotify sekiranya tidak mahu kehilangan pekerja berbakat besar.

Senario WFH dan WFE sebenarnya telah disebut ALLAH SWT dalam surah Al-Hasyr [59:18] bermaksud: “Wahai orang beriman! Bertakwalah kepada ALLAH (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (daripada amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan) bertakwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.”

Penulis ingin ucap tahniah kepada Spotify, Twitter, Facebook dan Google kerana telah memberi definisi baharu kepada dunia pekerjaan.

Spotify menegaskan bahawa keberkesanan pekerjaan tidak dapat diukur dengan jumlah jam dihabiskan di pejabat, sebaliknya dengan memberi kebebasan memilih tempat bekerja memberi potensi kepada peningkatan kualiti pekerjaan.

Malah, ketika ini kaedah pembelajaran digital dan online menjadi denyutan nadi pendidik serta pensyarah. Mereka sekadar saling menyapa dalam alam maya. Kesimpulannya, penulis ingin menegur segelintir syarikat yang masih tegas dengan kaedah tradisional.

Mungkin alasan mereka kukuh. Namun, sudah sampai masanya mereka mengubahnya. Mungkin sudah sampai masa untuk memperkenalkan kaedah kerja hibrid seperti diperkenalkan Spotify.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor