Lelaki Nigeria, kekasih ditahan rentas daerah

Ahmad Shukri (kiri) ketika memeriksa borang kebenaran rentas negeri seorang penunggang motosikal di Tol Alor Setar (Selatan) pada Khamis.
Ahmad Shukri (kiri) ketika memeriksa borang kebenaran rentas negeri seorang penunggang motosikal di Tol Alor Setar (Selatan) pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki warganegara Nigeria sanggup mengambil risiko merentas daerah daripada Changlun ke Kota Setar, di sini, semata-mata ingin ke pusat membeli belah terkemuka Aman Central, di sini, pada Khamis minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, tindakan lelaki berusia 34 tahun berkenaan membawa padah apabila ditahan di Tol Alor Setar arah Utara, di sini.

Katanya, lelaki warga asing berkenaan ditahan ketika memandu sebuah kenderaan jenis Ford Focus lebih kurang jam 3.30 petang yang dinaiki bersama kekasihnya yang merupakan warga tempatan berusia 24 tahun.

"Ketika diperiksa, lelaki berkenaan yang merupakan pelajar ijazah kedoktoran (PHD) sebuah institusi pengajian tinggi didapati melakukan kesalahan rentas daerah tanpa kebenaran sah daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Sehubungan itu, lelaki tersebut ditahan untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam sidang media di sekatan jalan raya Tol Alor Setar (Selatan) pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati lelaki terbabit positif dadah dan pernah melakukan beberapa kesalahan lain termasuklah imigresen dan dadah.

"Manakala, teman wanitanya yang juga pelajar PHD sebuah IPT dikenakan kompoun atas kesalahan rentas daerah tanpa kebenaran yang sah," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Shukri berkata, sebanyak 180 kompoun atas pelbagai kesalahan dikeluarkan Team Pemantau Op Covid Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sepanjang tempoh PKP bermula 4 hingga 18 Februari.

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah itu, sebanyak 61 kompaun melibatkan kesalahan makan di kedai makan dan membuka kedai makan untuk pelanggan ketika tempoh PKP dan 57 kompaun atas kesalahan rentas negeri dan daerah tanpa sebarangan kebenaran sah daripada PDRM," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan 32 kompaun atas kesalahan berekreasi atau bermain sukan berkumpulan atau pun aktiviti dilarang sepanjang tempoh itu, 20 kompaun lagi membabitkan kesalah tidak mendaftar aplikasi MySejahtera, tujuh kompaun kerana tidak memakai pelitup muka dan tiga kerana memancing.

Menurutnya, seramai 168 pegawai dan anggota polis Kota Setar terlibat dalam menjayakan OP Covid Daerah ini yang terdiri daripada penugasan Bilik Gerakan OP Covid, Team Pemantauan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan SJR sepanjang tempoh PKP.