MOM putuskan hantar gandingan atlet muda, berpengalaman

Mohamad Norza
Mohamad Norza
A
A
A

JAWATANKUASA Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) membuat keputusan untuk menghantar satu kontinjen terdiri daripada atlet muda dan mereka yang berpengalaman ke Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam yang dijadualkan berlangsung dari 21 November hingga 2 Disember depan.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu pada Khamis berkata, komposisinya akan bergantung kepada situasi unik setiap sukan dan persatuan sukan kebangsaan (NSA) masing-masing.

Beliau berkata, jawatankuasa yang terdiri daripada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Ahmad Faedzal Md Ramli; bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Mazlan Ahmad dan bekas Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi dipersembahkan dengan beberapa kemungkinan komposisi Kontinjen Malaysia.

“Berikutan Sukan SEA 2019 di Manila, kerajaan dan MOM melihat untuk menghantar satu pasukan muda ke Sukan SEA seterusnya. Matlamat utama ialah untuk membuat pelaburan kepada atlet muda kita dan menyediakan mereka dengan peluang dan pengalaman berharga kepada mereka untuk memulakan kerjaya masing-masing.

“Rundingan berlangsung secara individu dengan NSA dan Majlis Sukan Negara (MSN) September lepas untuk meneroka dengan lanjut idea menghantar sebuah pasukan muda ke Sukan SEA 2021,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis..

Mohamad Norza berkata, penangguhan Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang merupakan satu platform untuk memilih atlet muda untuk ke Sukan SEA kerana pandemik Covid-19 merupakan satu tamparan hebat terutamanya kepada atlet muda.

“Kekurangan atau ketiadaan kejohanan bukan hanya menyulitkan atlet dan jurulatih tetapi memberikan cabaran kepada NSA dan MOM dalam konteks pemilihan atlet dan menilai kesediaan dan daya saing mereka di peringkat kebangsaan dan serantau.

“Tambahan pula, Jawatankuasa Penganjur Vietnam mengambil pendekatan yang amat konservatif terhadap Sukan SEA kali ini kerana ketidakpastian akibat Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Mengambil maklum perkara itu, Jawatankuasa Pemilihan akan bermesyuarat secara individu dengan setiap NSA antara sekarang sehingga 15 Mac bagi menentukan gandingan atlet yang tepat untuk setiap sukan,” katanya.

Walaupun kategori A dan B akan dikekalkan, Mohamad Norza berkata, jawatankuasa itu mempunyai hak untuk memasukkan atlet ke dalam pasukan biarpun tidak memenuhi kriteria jika seorang atlet muda mempamerkan potensi masa hadapan yang hebat sebagai sebahagian daripada dorongan dan penekanan kepada pembangunan atlet remaja.

Menurut kriteria kelayakan sebelum ini, prestasi semasa atlet perlu melepasi penanda pingat gangsa dalam Sukan SEA sebelumnya untuk dihantar di bawah Kategori A dan mereka akan dibiayai sepenuhnya oleh MOM sementara Kategori B akan ditanggung oleh NSA masing-masing tetapi akan dibayar balik sekiranya memenangi sebarang pingat.

Vietnam menyenaraikan 40 sukan untuk dipertandingkan pada edisi ke-31 sukan dwitahunan itu berbanding 56 sukan yang dipertandingkan dalam edisi sebelumnya di Filipina. - Bernama