Bola sepak perlu nafas baharu

Muhyiddn (dua dari kanan) ketika menerima kunjungan hormat dari delegasi FAM di Bangunan Perdana Putra pada Khamis. - Foto FB FAM
Muhyiddn (dua dari kanan) ketika menerima kunjungan hormat dari delegasi FAM di Bangunan Perdana Putra pada Khamis. - Foto FB FAM
A
A
A

TAN Sri Muhyiddin Yassin berpendapat sukan bola sepak negara perlu diberi nafas baharu dan diperkasakan semula susulan impak pandemik Covid-19 terhadap perkembangan serta aktiviti sukan nombor satu negara itu ketika ini.

Perdana Menteri menegaskan, bola sepak tidak hanya tertumpu kepada saingan Liga Malaysia (Liga-M) di bawah seliaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), sebaliknya meliputi keseluruhan rantaian sukan itu di pelbagai peringkat seperti industri hiliran dan operator sukan.

“Saya juga mengambil maklum mengenai langkah diambil FAM dalam memastikan Liga-M dijadual bermula Mac ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi menjamin penularan wabak COVID-19 dapat dielakkan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya pada Khamis.

Terdahulu, Muhyiddin menerima kunjungan hormat delegasi FAM diketuai presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya.

“Saya tertarik dengan perkongsian Hamidin mengenai agenda terkini dan hala tuju perkembangan bola sepak tempatan yang direncana FAM, antaranya, saingan Liga-M dan persiapan pasukan kebangsaan untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023,” jelas Muhyiddin.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sentiasa berkongsi maklumat serta perkembangan terkini mengenai penganjuran Liga-M dan yakin dengan kerjasama erat FAM, kemeriahan sukan bola sepak kembali dapat dinikmati semula.

Muhyiddin turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Hamidin yang menang tanpa bertanding jawatan Presiden FAM bagi penggal 2021-2025 yang akan disahkan pada Kongres FAM ke-57 dijadual berlangsung Mac ini.

“Saya harap agar FAM di bawah kepimpinan Hamidin dapat menghadiahkan berita gembira untuk rakyat dengan mengemudi skuad Harimau Malaya beraksi di pusingan akhir Kejohanan Piala Asia 2023 yang dijadual berlangsung di China,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: