Sindiket penjualan PLKS: Kerajaan dianggar rugi RM2.16 juta setahun

Khairul Dzaimee
Khairul Dzaimee
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan dianggarkan menanggung kerugian hampir RM2.16 juta setiap setahun akibat kegiatan sindiket penjualan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) oleh tujuh individu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, anggota sindiket terbabit dipercayai mendapat keuntungan sehingga RM80,000 sebulan hasil daripada kegiatan tersebut.

Beliau menegaskan, kegiatan sindiket itu jelas boleh menggugat keselamatan negara serta menyebabkan kepada ketirisan kutipan hasil kerajaan.

"Melalui kegiatan penjualan pelekat-pelekat ini, kerajaan dianggarkan kerugian sebanyak RM1,800 bagi setiap keping pelekat yang dijual dan digunakan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) disebabkan Jabatan Imigresen Malaysia tidak dapat mengutip hasil levi, bayaran Pas dan bayaran proses yang ditetapkan kerajaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sindiket terbabit tumpas berikutan penahanan tujuh lelaki tempatan melalui beberapa siri tangkapan sejak 14 Februari 2021 dalam Ops Sticker yang dijalankan secara bersepadu antara Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, tujuh anggota sindiket yang ditahan itu berumur di antara 30 hingga 39 tahun dipercayai terlibat secara langsung dalam kegiatan penjualan pelekat keselamatan Imigresen tulen yang bercetak kepada sindiket pemalsuan Pas Imigresen.

Mengulas lanjut katanya, siasatan dijalankan mendapati mereka mendapat bekalan pelekat tulen daripada individu yang bekerja dengan sebuah syarikat percetakan yang menjadi pembekal kepada pihak Imigresen.

Beliau berkata, modus operandi pengedaran pelekat itu bermula dengan pekerja syarikat percetakan yang menyeludup keluar sebahagian buku pelekat keselamatan Imigresen dari stor syarikat dan kemudian menjual kepada anggota sindiket pada harga di antara RM700 hingga RM800 sekeping.

Artikel Berkaitan:

"Setiap buku mengandungi sebanyak 50 keping pelekat," katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan kegiatan terbabit dan akan meneruskan operasi-operasi bersepadu sebagai langkah berterusan untuk menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.

Terdahulu, SPRM melalui kenyataan pada Khamis memaklumkan menumpaskan sindiket penjualan setem hasil kerajaan dan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang melibatkan kerugian hasil kerajaan melebihi RM15 juta.

Menurut kenyataan, sejumlah 2,500 keping Setem Hasil Kerajaan bernilai RM250 dan RM10 yang keseluruhannya bernilai RM12.5 juta telah dirampas dalam operasi besar-besaran di sekitar Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Sindiket jualan setem hasil kerajaan, PLKS tumpas