NUFAM cadang kerajaan teliti masalah industri penerbangan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) mencadangkan kerajaan meneliti semula masalah dalam industri penerbangan yang menyebabkan ramai terjejas akibat Covid-19.

NUFAM dalam kenyataan memaklumkan, jika tiada tindakan yang proaktif, keadaan yang teruk akan terus menggugat kehidupan ramai dalam industri penerbangan.

Menurutnya, NUFAM bersama pertubuhan bukan kerajaan lain telah meminta pihak Kementerian Pengangkutan mengadakan perbincangan melalui Majlis Kerja Industri Penerbangan (NACC) mengenai masalah industri tersebut.

“Dengarlah rintihan daripada golongan yang betul-betul terkesan, bukan dengar satu belah pihak saja. Mungkin bukan semua bantuan yang kerajaan tawarkan diterima oleh golongan ini.

“Adakan dialog dengan semua badan dan wakil industri penerbangan. Sebelum keadaan menjadi lebih teruk.

“Kalau tak percaya, pergi ke lapangan terbang dan lihat keadaan di sana. Banyak kedai dan perniagaan di lapangan terbang sudah pun tutup dan ramai pekerja hilang pekerjaan,” katanya pada Khamis.

NUFAM berkata, pihak Kementerian Pelancongan, Kementerian Pengangkutan serta wakil industri perlu duduk semeja dan memberikan maklumat lebih terperinci mengenai masalah yang sedang dihadapi.

Tambah NUFAM, ramai yang mahukan industri penerbangan dan pelancongan dapat beroperasi kembali, namun dengan lebih sistematik serta terurus.

Artikel Berkaitan:

“Isu keselamatan dan SOP (prosedur operasi standard) Covid-19 mesti terus ditangani tapi dengan lebih baik agar industri negara kita tidak akan tertinggal dari negara lain yang sudah lama memulakan perbincangan mereka,” katanya.

Menurut NUFAM, ramai pekerja dan peniaga terkesan dengan keadaan kini dan ada di antara mereka telah dicutikan sehingga akhir tahun.

Katanya, perkara tersebut membimbangkan ramai pekerja terutama sekali golongan M40 dan B40.

“Ada yang mengatakan permohonan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) mereka ditolak dan ramai antara mereka tidak dapat maklumat mengenai kelulusan permohonan itu sehingga hari ini.

"Ini sebenarnya berlaku kepada golongan yang hidup susah akibat Covid-19," katanya.