Hutan Simpan Kekal antara lokasi risiko kebakaran terbuka

Mohamad Yusoff pada sidang media di Lotuss Ipoh Bercham, Ipoh pada Khamis.
Mohamad Yusoff pada sidang media di Lotuss Ipoh Bercham, Ipoh pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Kawasan Hutan Simpanan Kekal Gunung Bubu, laluan belukar di lebuh raya serta tumpuan reaksi seperti Bukit Kledang Saiong dikesan antara lokasi berisiko berlakunya kebakaran terbuka terutama pada musim cuaca panas ini.

Timbalan Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yusoff Abdul Rahman berkata, keadaan itu berlaku disebabkan aktiviti manusia yang melakukan pembakaran tidak terkawal hingga mengakibatkan ia merebak.

Menurutnya, dalam tempoh tiga minggu bermula 26 Januari lepas, pihaknya telah pun merekodkan 19 kes kebakaran terbuka berlaku di tiga daerah iaitu Kinta, Kuala Kangsar dan Kampar.

“Daripada kes direkodkan itu, dua kes kritikal yang diterima adalah kebakaran Hutan Simpanan Kekal Gunung Bubu di Kuala Kangsar membabitkan keluasan dua hektar yang mengambil masa tiga hari operasi pemadaman.

“Satu lagi kes membabitkan kebakaran lalang berhampiran Tol Ipoh-Selatan yang mengorbankan seorang lelaki pada Isnin lalu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan menghapus bahaya kebakaran sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina di Lotuss Ipoh Bercham, di sini pada Khamis.

Katanya, sebagai langkah persediaan menghadapi cuaca panas yang dijangka berterusan hingga April depan, pihaknya akan memberi lebih perhatian di semua kawasan itu termasuklah di Bukit Batu Putih, Gopeng serta Bukit Berekeh di Sungai Siput yang turut dikesan sebagai lokasi hotspot berlakunya kebakaran terbuka.

Katanya, selain rondaan dan pemantauan, pihaknya turut melakukan pemeriksaan rutin dari segi kelengkapan logistik termasuk 27 pam angkut supaya berada dalam keadaan baik untuk digunakan ketika operasi.

“Cuaca panas melanda negara sejak awal Februari dan sepanjang minggu itu kita telah menerima pelbagai aduan kebakaran ladang, hutan, belukar dan lalang yang membabitkan operasi pemadaman.

Artikel Berkaitan:

“Jadi kita nasihatkan orang ramai supaya jangan melakukan pembakaran terbuka selain tidak membuang puntung rokok sesuka hati yang boleh mengakibatkan kebakaran,” katanya.