Pengedar dadah tukar taktik, guna khidmat kurier

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket pengedaran dadah dikesan beralih menggunakan perkhidmatan kurier bagi meneruskan kegiatan mereka ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP), sejak tahun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, penggunaan taktik itu menunjukkan peningkatan ketara dengan pengedar menyembunyikan dadah di dalam barangan penting dan barangan keperluan asas.

“Sepanjang tahun lepas, polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier membabitkan 84 kes dan membuat 103 tangkapan manakala bagi tahun ini ia membabitkan lima kes dan empat tangkapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Razarudin berkata, selain menggunakan perkhidmatan kurier, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan e-hailing, membabitkan 29 kes dan 39 tangkapan di seluruh negara, dalam tempoh sama pelaksanaan PKP, PKPB dan PKPP.

“Pengedar didapati menggunakan perkhidmatan penghantaran e-hailing untuk membuat penghantaran dadah dengan menyembunyikannya di dalam bungkusan makanan atau barang yang dihantar bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, cara lain yang digunakan pengedar dadah ialah dengan menggunakan pengangkutan penghantaran barangan penting dan barangan keperluan asas kerana hanya lori tertentu dibenarkan membuat pergerakan merentas daerah dan negeri.

“Sindiket pengedar dadah juga dikesan menganjurkan parti haram di kondo-kondo mewah kerana pusat hiburan masih tidak lagi dibenarkan beroperasi selain turut melakukan penjualan secara dalam talian termasuk menerusi website e-dagang popular, di mana penjualan dan pembelian berlaku secara terbuka,” katanya.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, PDRM merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM168.26 juta di seluruh negara sepanjang Januari tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dadah yang dirampas ialah sebanyak 27,623.47 kilogram dan juga 4,955.61 liter cecair dadah, dengan rampasan tertinggi membabitkan dadah jenis erimin 5, ganja dan syabu.

"Dalam tempoh itu juga seramai 9,323 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dengan 28 daripadanya adalah penjawat awam.

"Sebanyak 22 sindiket juga berjaya ditumpaskan dan tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, di mana JSJN berjaya menyita pelbagai aset sindiket dianggarkan bernilai RM26.1 juta," katanya. - Bernama