JAS patahkan cubaan seludup masuk lapan kontena e-sisa

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk lapan kontena berisi barangan buangan elektrik dan elektronik terpakai (e-sisa) di Pelabuhan Barat dekat sini pada Khamis.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, serbuan hasil kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya menemukan barangan elektrik dan elektronik terpakai seberat kira-kira 145.1 tan yang dibawa masuk bagi tujuan kitar semula.

“Dalam serbuan kira-kira 12 tengah hari tadi kami telah menemukan papan litar tercetak dan mesin pencetak terpakai yang dikategorikan sebagai buangan elektrik dan elektronik terpakai seberat 147,147 kilogram dan dipercayai dibawa masuk bagi tujuan kitar semula.

“Siasatan awal mendapati barangan buangan ini diimport dari Amerika Syarikat dan Hong Kong tanpa kelulusan JAS,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Nor Aziah berkata, kesemua barangan buangan itu dipercayai akan dibawa ke beberapa premis di Lembah Klang untuk dilebur bagi mendapatkan logam berharga seperti timah dan tembaga bagi pasaran tempatan.

"Kita telah mengeluarkan notis arahan kepada syarikat pengimport untuk memulangkan kontena itu ke negara asal di bawah prosedur Konvesyen Basel berkaitan Kawalan Pergerakan Bahan Berbahaya dan Pelupusan," katanya.

Beliau berkata, JAS Selangor terus komited membanteras jenayah alam sekitar rentas sempadan dan mengelakkan negeri ini dijadikan tempat pelupusan buangan daripada negara asing. - Bernama

Artikel Berkaitan: