Pengasas Sugarbook ditahan semula

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pengasas aplikasi Sugarbook yang dibebaskan tanpa reman pada Khamis ditahan semula bagi membantu siasatan kes rogol dan pelacuran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, penahanan itu susulan laporan daripada seorang pelajar institut pengajian tinggi berkenaan kejadian yang berlaku di Subang Jaya pada 19 Februari 2019.

"Suspek berusia 34 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (merogol) dan Seksyen 372 Kanun Keseksaan (kesalahan terbabit dalam kegiatan pelacuran)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis menolak permohonan pihak polis untuk menahan reman pengasas aplikasi Sugarbook bagi membantu siasatan dakwaan laman berkenaan digunakan sebagai platform mencari perempuan simpanan.

Peguam Foong Cheng Leong yang mewakili lelaki tersebut berkata, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Noorasyikin Sahat menolak permohonan pihak berkuasa itu selepas anak guamnya memberi aku janji akan bekerjasama penuh kepada pihak polis.

Menjelaskan perkara itu, Fadzil berkata, pihak Pengarah Pendakwaan Selangor telah membuat permohonan semakan ke atas keputusan tersebut.

"Permohonan akan didengar di hadapan seorang Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah di Shah Alam pukul 9 pagi Jumaat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah tolak permohonan tahan reman pengasas aplikasi 'Sugarbook'

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini media melaporkan Malaysia diletakkan pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan 'sugar daddy' paling ramai melalui aplikasi Sugarbook, yang menyediakan platform untuk mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai 'sugar baby'.

Susulan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga telah menjalankan siasatan berhubung dakwaan bahawa ramai wanita Malaysia terutama penuntut universiti menawarkan diri sebagai 'sugar baby'.