Cubaan seludup 100kg ketum gagal

Bungkusan daun ketum yang ditinggalkan di kawasan berhampiran pesisiran pantai Kuala Jerlun pada Khamis.
Bungkusan daun ketum yang ditinggalkan di kawasan berhampiran pesisiran pantai Kuala Jerlun pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup lebih kurang 100 kilogram (kg) daun ketum ketika rondaan Op Aman dilakukan sekitar perairan Kedah awal pagi Khamis.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, daun ketum yang diisi di dalam beberapa bungkusan plastik hitam itu ditemui kira-kira jam 7.30 pagi berhampiran pesisiran pantai Kuala Jerlun dan disyaki cuba diseludup ke Thailand.

Katanya, harga pasaran daun ketum kini melonjak sehingga mencecah RM180 sekilogram berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di negeri Kedah.

"Harga pasaran yang tinggi ini merancakkan lagi aktiviti penyeludupan keluar daun ketum ke negara jiran. Jumlah rampasan kali ini, sekiranya dijual di pasaran Thailand boleh mencecah RM18,000," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Anggota Maritim menunjukkan bungkusan plastik hitam berisi daun ketum yang cuba diseludup ke Thailand pada Khamis.
Anggota Maritim menunjukkan bungkusan plastik hitam berisi daun ketum yang cuba diseludup ke Thailand pada Khamis.

Menurutnya, semua hasil rampasan itu dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

"Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Noor Azreyanti, pihak Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 05-7310579.