Empat temui ajal bagi setiap 1,000 kes positif Covid-19

Setiap 1,000 individu positif Covid-19, empat daripada mereka berkemungkinan menemui ajal.
Setiap 1,000 individu positif Covid-19, empat daripada mereka berkemungkinan menemui ajal.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Setiap 1,000 individu positif Covid-19, empat daripada mereka berkemungkinan menemui ajal.

Fakta itu dikongsikan oleh Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr P Kalaiarasu.

Menurutnya, kes kematian Covid-19 di negara ini berada pada kadar 0.4 peratus.

"Berdasarkan statistik kematian, pesakit lelaki menyumbang 65 peratus kes berbanding wanita iaitu 35 peratus," katanya pada Sesi Libat Urus Media Darurat Covid-19 pada Khamis.

Beliau berkata, sebanyak 68 peratus kes kematian melibatkan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas.

"Bagi peringkat umur 50 hingga 59 tahun, sebanyak 16.8 peratus kes kematian dilaporkan berbanding usia 40 dan 49 tahun iaitu 8.4 peratus," katanya.

Dr Kalaiarasu berkata, KKM merekodkan kes kematian di bawah usia 30 tahun sebanyak 2.7 peratus.

"Bagi kes kematian melibatkan pesakit berumur 30 hingga 39 tahun, sebanyak 4.3 peratus dilaporkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebanyak 88 peratus kes kematian mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit lain.

"Kes kematian melibatkan pesakit yang mempunyai penyakit darah tinggi berada di carta tertinggi dengan 64 peratus diikuti diabetes sebanyak 47.2 peratus.

"Pesakit Covid-19 yang mempunyai penyakit jantung dan meninggal dunia adalah 23.6 peratus, buah pinggang (21.8), kolesterol tinggi (17.4), pernafasan (11.1), kanser (4.3) dan penyakit hati (dua)," katanya.

Katanya, pengambilan vaksin Covid-19 sangat diperlukan untuk membina imuniti terhadap wabak itu selain dapat membantu mengelakkan penyakit yang lebih serius jika dijangkiti Covid-19.