Tiga hospital di Kedah jadi pusat pengumpulan vaksin Covid-19

Mohd Hayati Othman
Mohd Hayati Othman
A
A
A

ALOR SETAR - Tiga buah hospital di Kedah dipilih sebagai pusat pengumpulan vaksin Covid-19 sebelum diedarkan ke pusat-pusat kesihatan seluruh negeri ini menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, tiga hospital tersebut adalah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani dan Hospital Sultanah Maliha (HSM) di Langkawi.

Menurutnya, ketiga-tiga hospital berkenaan memiliki keupayaan untuk menyimpan vaksin pada suhu diperlukan iaitu -80 darjah celsius agar bertahan untuk jangka masa panjang.

“Kesemua vaksin akan diedarkan ke pusat kesihatan yang akan melaksanakan kerja-kerja suntikan vaksin kepada penerima.

"Bagaimanapun, pengedarannya perlu mengikut jadual yang ketat kerana vaksin tersebut hanya mampu bertahan lima hari jika disimpan pada suhu antara dua hingga lapan darjah celsius,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Aman pada Khamis.

Mohd Hayati berkata, seramai 2,300 pegawai dan kakitangan Hospital Sultanah Bahiyah akan menjadi golongan pertama menerima suntikan vaksin di negeri ini bermula hujung bulan ini.

“Mereka akan menerima suntikan itu di hospital berkenaan. Bagi petugas barisan hadapan lain, mereka akan menerima suntikan vaksin di pusat-pusat kesihatan yang ditetapkan nanti,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini pihaknya belum dapat menyatakan jumlah keseluruhan petugas barisan hadapan yang akan menerima suntikan vaksin di Kedah susulan jadual suntikan untuk golongan itu diuruskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, pihaknya menasihatkan rakyat negeri ini agar tidak bimbang untuk mendapatkan vaksin kerana penggunaannya disahkan selamat.

“Penghasilan vaksin itu tidak melibatkan sebarang komponen haiwan. Alhamdulillah, pihak berkuasa agama juga mengatakan vaksin ini harus digunakan,” katanya.