ABIM kecam pembunuhan 13 orang awam Turki oleh pengganas PKK

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Muhammad Faisal Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam pembunuhan 13 warga Turki oleh pengganas yang didalangi Parti Pekerja Kurdistan (PKK) di sebuah gua di utara negara Iraq.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pembunuhan terbabit merupakan satu siri kekejaman oleh PKK yang dikategorikan sebagai pertubuhan pengganas di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, masyarakat antarabangsa tidak seharusnya menerima retorik mereka memperjuangkan hak bangsa Kurdis kerana gerakan berkenaan mempromosi keganasan dan ditolak dalam kalangan komuniti Kurdis sendiri.

"Sebagai contoh dalam kes membabitkan seorang wanita Kurdis di Jerman, Maide Töremiş yang kehilangan anaknya setelah diculik serta didoktrin PKK untuk meneruskan aktiviti keganasan.

"Kisah Maide Töremiş mendapat perhatian media Turki kerana beliau merupakan sebahagian daripada ibu bapa yang kehilangan anak akibat didoktrin secara paksa untuk menjadi pengganas PKK," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Justeru katanya, sokongan tidak berbelah bahagi perlu diberikan kepada kerajaan Republik Turki yang dipimpin Presiden, Reccep Tayyip Erdoğan, dan rakyat Turki secara keseluruhannya untuk menghapuskan kempen keganasan PKK yang mengancam kestabilan geo-politik rantau sekeliling.

Katanya, ABIM mengucapkan takziah kepada seluruh rakyat Republik Turki dan mendoakan ahli keluarga mangsa diberi kekuatan menghadapi situasi sukar.

Artikel Berkaitan: