48 peratus mahu kombinasi kerja dari rumah, pejabat selepas pandemik

Fahad Naeem - Foto Facebook @Randstad.Malaysia
Fahad Naeem - Foto Facebook @Randstad.Malaysia
A
A
A

SHAH ALAM - Kajian yang dijalankan Randstad Malaysia yang bertajuk ‘Randstad Workmonitor’ mendapati 48 peratus responden tempatan mahukan kombinasi bekerja dari rumah dan pejabat selepas pandemik Covid-19.

Ketua Operasi Randstad Malaysia, Fahad Naeem berkata, sebanyak 14 peratus lagi responden ingin bekerja dari rumah secara kekal.

"Dasar kerja yang fleksibel dapat membantu mengurangkan tahap tekanan dan meningkatkan motivasi bekerja kerana pekerja dapat mencari jalan untuk mencapai keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan peribadi mereka.

“Walau bagaimanapun, kerja jarak jauh juga boleh membebankan budaya organisasi itu sendiri kerana sukar untuk mengeratkan hubungan dan menjalin kerjasama yang berkesan dalam kalangan pekerja.

“Syarikat perlu mengambil langkah kecil untuk mencari strategi seimbang yang dapat mempertahankan budaya dan memenuhi harapan pekerja,” katanya dalam kenyataan pada Khamis

Menurut Fahad, kajian berkenaan dilakukan pada bulan Oktober di 34 kawasan sasaran di seluruh dunia, dengan minimum 400 responden di setiap kawasan sasaran.

Sementara itu, beliau berkata, lapan daripada 10 responden berpendapat bahawa majikan memberi mereka sokongan mental dan emosi dalam menghadapi cabaran pandemik.

Tambahnya, sentimen itu sedikit rendah dalam kalangan pekerja berusia, dengan 74 peratus responden berumur 45 hingga 54 tahun yang merasa disokong oleh majikan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Interaksi sosial yang terhad dan ketakutan melampau terhadap virus (Covid-19) boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius.

“Oleh itu, pekerja lebih cenderung untuk pergi ke pengurus mereka untuk mendapatkan pertolongan dan bimbingan dalam menguruskan tahap tekanan mereka pada masa yang sukar.

“Syarikat yang berusaha untuk melabur dalam kesihatan pekerja mereka akan melihat peningkatan dalam produktiviti pekerjaan, pengurangan ketidakhadiran serta tahap penglibatan yang lebih tinggi di tempat kerja," ujarnya.