X

Kindly register in order to view this article
!

Trak tentera kemalangan, empat anggota cedera

Trak tentera darat yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Simpang Tiga Lendu, Alor Gajah pada pagi Khamis.
A
A

ALOR GAJAH - Sebuah trak Angkatan Tentera Darat terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Simpang Tiga Lendu di sini pada pagi Khamis.

Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 8 pagi itu mengakibatkan empat anggota tentera dan pemandu kenderaan jenis Mitsubishi terbabit mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kesemua mangsa terlibat berusia di antara 21 hingga 37 tahun dan kemalangan berlaku ketika trak tentera itu dalam perjalanan dari Alor Gajah ke Kuala Linggi.

Katanya, trak tentera tersebut gagal mengelak kenderaan pacuan empat roda yang dipandu pemuda berusia 24 tahun dari arah bertentangan yang membelok ke arah Rembia.

"Kesemua mereka yang mengalami kecederaan ringan telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Katanya, tiga daripada anggota tentera itu beralamat di Markas Tentera Darat Cawangan Sumber Manusia Kementah, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur, manakala seorang lagi dari Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!